JPJ keluar 10,000 saman sehari

KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak sesuka hati menyaman pengguna jalan raya, sebaliknya tindakan menyaman adalah satu kaedah untuk mendidik pengguna jalan raya supaya berbudi bahasa dan bersopan santun semasa menggunakan jalan raya.

“Saman adalah langkah untuk mewujudkan kesedaran pengguna jalan raya supaya menghormati undang-undang kerana sikap pemandu dikenal pasti menjadi punca utama nahas di jalan raya yang meningkat setiap tahun. “Apabila mereka mematuhi peraturan, kita tidak akan mengeluarkan saman sesuka hati atau mengeluarkan kompaun.
“Kami juga dapat menyelamatkan nyawa dan mengelakkan kecederaan dialami pemandu,” kata Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan kepada Bernama.
Beliau berkata JPJ mengeluarkan kira-kira 10,000 saman sehari di seluruh negara, kebanyakannya berpunca daripada sikap ambil mudah pengguna jalan raya dan suka melanggar peraturan jalan raya. Katanya, beberapa inisiatif baru, termasuk membuat pindaan kepada Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 akan dilakukan untuk memantapkan tindakan penguatkuasaan JPJ.
Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata peranan pihak penguatkuasa adalah untuk memberi peringatan kepada pengguna jalan raya supaya tidak melanggar peraturan, memastikan pesalah akan serik dengan kesalahan mereka dan tidak mengulanginya lagi. – Bernama, 24 Jun 2010.

800 disaman dalam Ops Checkmate

PADANG BESAR 22 Jun – Hampir 800 pengguna termasuk dari Thailand disaman kerana melakukan pelbagai kesalahan lalu lintas ketika Ops Checkmate oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di sini sepanjang Mac hingga awal Mei lalu.

Pengarah JPJ Perlis, Zulhasmi Mohamad memberitahu, daripada 797 pengguna itu, 85 daripadanya melibatkan kenderaan dari negara jiran.

Dalam operasi bermula 1 Mac hingga 6 Mei lepas itu kata beliau, 473 kes melibatkan pelbagai kesalahan seperti yang berkaitan lesen memandu, cukai jalan, membawa lebih muatan dan gagal hadir untuk timbang kenderaan.

“Selain itu, pihak kami juga mengesan 239 kesalahan dalam Ops Penyamaran. Antaranya seperti tidak mematuhi peraturan lampu isyarat, memotong barisan, memotong di garisan berkembar dan tidak memakai tali pinggang keledar.

“Kes-kes lain termasuklah menggunakan telefon sambil memandu (tanpa talian bebas tangan) dan 43 kes tidak memakai topi keledar ketika menunggang motosikal,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada para pemberita selepas menyertai latihan menembak JPJ di Lapang Sasar Logistik Polis Diraja Malaysia di sini, hari ini.

Zulhasmi memberitahu lagi, pihaknya akan meneruskan operasi sedemikian dari semasa ke semasa untuk memastikan para pengguna kenderaan sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Beliau tidak menafikan JPJ akan meneruskan Ops Penyamaran terutama bagi mengambil tindakan terhadap pengguna yang tidak mematuhi peraturan lampu isyarat.

Sumber: Utusan Malaysia, 23 Jun 2010.

JPJ belum lulus basikal bermotor

Penggunaan kenderaan buatan China guna kuasa bateri ‘diharamkan’

GEORGETOWN: Penggunaan kenderaan basikal bermotor berkuasa bateri yang semakin popular pada masa ini dikategorikan sebagai ‘haram’ kerana BELUM diluluskan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan polis untuk digunakan di jalan raya.

Kenderaan buatan China yang boleh mencapai kelajuan maksimum 20 kilometer sejam itu juga boleh mendatangkan bahaya kepada penunggang kerana keadaan fizikal yang tidak kukuh berikutan menggunakan bahan plastik. Ia yang dikategorikan sebagai kenderaan mampu milik, mempunyai dua model iaitu basikal bermotor dijual pada harga RM1,650 seunit, manakala skuter dijual RM1,750 seunit.

Kenderaan itu boleh digunakan selama empat jam sebelum bateri dicas semula, malah boleh ditukar kepada mod kayuhan jika bateri kehilangan kuasa.

Bateri pula boleh dicas di soket elektrik di rumah atau di mana saja kerana kenderaan itu didatangkan dengan wayar sambungan khas seperti wayar cerek air yang boleh diasingkan.

Kenderaan itu juga mempunyai paparan meter, lampu brek, lampu isyarat, hon, penghidup elektrik dan kotak barangan.

Bagaimanapun, kenderaan itu dipercayai tiada ciri keselamatan yang mencukupi kerana struktur ringan termasuk menggunakan tayar basikal, malah akan bergoyang apabila berselisih atau dipotong kenderaan berat.
Sumber industri berkata, komponen basikal itu dipercayai dibawa masuk tanpa kelulusan pihak berkuasa sebelum dipasang untuk pasaran tempatan.

“Ia dipercayai menggunakan status basikal bagi membolehkan pihak Kastam Diraja Malaysia melepaskan kenderaan berkenaan untuk diedarkan ke seluruh negara.

Kenderaan itu sebenarnya tidak diluluskan kerana secara keseluruhan ia tidak menepati piawaian ditetapkan, malah kebanyakan komponen yang digunakan tidak berkualiti,” katanya.

Polis juga tidak mengiktiraf kenderaan berkenaan sebagai kenderaan bermotor dan meminta orang ramai merujuk kepada JPJ sebelum membelinya.

Difahamkan, syarikat bertanggungjawab membawa masuk kenderaan itu, baru memohon kelulusan JPJ untuk dibenar digunakan di jalan raya, sedangkan penggunaannya semakin meluas termasuk di lebuh raya.

Berita Harian yang cuba mendapatkan kepastian daripada penjual kenderaan itu, terkejut apabila dimaklumkan kenderaan itu tidak memerlukan lesen atau cukai jalan kerana tidak menggunakan minyak.

Sementara itu, Pengarah JPJ Pulau Pinang, Datuk Hassan Yaccob, berkata kenderaan terbabit tidak boleh digunakan di jalan raya kerana tidak mendapat sebarang kelulusan.

Sumber: Berita Harian, 7 Jun 2010.

Akibat tiada lesen motor, lelaki terjun bangunan

KLANG 2 Jun – Bimbang diberkas pihak berkuasa kerana menunggang motosikal tanpa lesen, seorang lelaki maut selepas terjun dari tingkat tiga sebuah flat di Bukit Tinggi 2 di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.45 malam, Teoh Seng Tin, 26, mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Sebelum kejadian, lelaki itu yang menunggang motosikal bersama seorang rakannya, sedang melarikan diri dari tiga anggota sukarelawan polis dan seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang mahu memeriksa lesen memandunya.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Mohamad Md. Yusuf berkata, empat anggota yang bertugas di Balai Bukit Tinggi itu menahan kedua-dua lelaki terbabit di Taman Rama semasa melakukan rondaan jenayah.

Beliau berkata, ketika ditahan, anggota polis terbabit meminta mereka berhenti untuk memeriksa lesen memandu dan cukai jalan.

“Ketika rakannya mahu mengeluarkan lesen, si mati tiba-tiba memecut motosikalnya menyebabkan empat anggota polis itu bertindak mengejarnya.

“Lima minit selepas dikejar, si mati dan rakannya masuk ke kawasan flat dan lari meninggalkan motosikal menuju ke tingkat tiga sebuah blok di flat tersebut dipercayai untuk bersembunyi.

“Empat anggota berkenaan yang terus mengejar hingga ke tingkat tiga terkejut apabila mendapati si mati setelah terjun dari tingkat tiga flat tersebut,” kata beliau ketika dihubungi hari ini.

Menurut Mohamad, rakannya yang turut berada di tingkat tiga kemudian menyerah diri kepada empat anggota polis tidak lama kemudian.

Katanya, berdasarkan soal-siasat terhadap rakannya, si mati melarikan diri ketika ditahan kerana bimbang diberkas setelah tidak mempunyai lesen memandu selain motosikal yang ditunggangnya tiada cukai jalan.

“Ketika ditahan, empat anggota bertugas hanya mahu memeriksa lesen dan cukai jalan si mati bukan kerana dia melakukan apa-apa kesalahan jenayah,” jelas beliau.

Sumber: Utusan Malaysia, 3 Jun 2010.