Berapa lamakah jangka hayat topi keledar?

KUALA TERENGGANU 26 Mei – Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) menyarankan orang ramai menukar topi keledar selepas tempoh LIMA tahun kerana berkemungkinan tidak selamat lagi digunakan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Tam Weng Wah berkata, keengganan berbuat demikian mendedahkan mereka kepada risiko apatah lagi ketahanannya terjejas apabila sering terjatuh.

“Penunggang atau pembonceng harus menitikberatkan soal itu demi keselamatan mereka. Saya lihat kesedaran pengguna motosikal untuk memakai topi keledar semakin meningkat, namun masih ada juga yang memakai `helmet’ separuh atau yang tidak memenuhi piawaian.

“Sebahagian besar mereka yang terdedah kepada kemalangan terdiri daripada penunggang,” ujarnya ketika merasmikan program Keselamatan Jalan Raya (KJR): Advokasi JKR Bermotor berhampiran Medan Selera Padang Negara dekat sini hari ini.

Selain JKJR, program tersebut turut dijayakan oleh beberapa agensi penguatkuasaan termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Polis Diraja Malaysia (PDRM) di samping kelab pemilik motosikal berkuasa besar.

Program itu turut diisi dengan pengagihan cenderahati dan baju pemantul cahaya kepada pengguna jalan raya, pengedaran risalah, pertukaran topi keledar serta menampal pelekat khas kepada kenderaan yang lalu-lalang di situ.

Dalam pada itu, Weng Wah berkata, berdasarkan statistik kemalangan maut yang dikeluarkan Cawangan Trafik Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu sepanjang tahun lalu, sebanyak 4.87 peratus atau 337 kes kemalangan maut dicatatkan di negeri ini daripada 6,915 kes yang dicatatkan di seluruh negara.

Katanya, jumlah itu meningkat berbanding tahun sebelumnya iaitu 4.35 peratus atau 301 daripada 6,917 kes kemalangan maut secara keseluruhannya.

“Untuk tahun ini pula iaitu sehingga bulan Mac lalu, sebanyak 5.17 peratus atau 84 kes kemalangan maut dicatatkan di negeri ini berbanding 1,623 kes yang dicatatkan di seluruh negara.

“Sebahagian besar daripada kemalangan ini pula melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal justeru, kami berharap, pengguna kenderaan akan lebih berhati-hati dan berwaspada ketika berada di jalan raya,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia, 27 Mei 2014.

Tinggalkan komen