Penduduk Melaka disaran manfaat program SKSJ

JASIN 23 Okt. – Penduduk negeri ini terutama mereka yang menghadapi kesukaran berurusan di kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) disaran memanfaatkan penganjuran program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ).

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Ismail Ahmad berkata, antara keistimewaan program itu bagi membolehkan orang ramai mendapatkan lesen motosikal dengan cepat melalui ujian khas.

Menurutnya, kemudahan tersebut disediakan khusus untuk warga emas dan masyarakat Orang Asli yang berusia 21 tahun bagi mendapatkan lesen Kelas B2.

”Dalam program SKSJ ini juga, orang ramai boleh terus menyuarakan apa sahaja masalah mereka berkaitan urusan JPJ atau masalah komunikasi yang menyebabkan mereka gagal mendapatkan lesen disebabkan kekurangan pengetahuan mengenainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menutup program SKSJ Dewan Undangan negeri (DUN) Serkam yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan, Penerangan, Perpaduan dan Pengguna negeri, Datuk Ghazale Mohamad di sini hari ini.

Ujarnya, usaha itu sejajar dengan objektif pengenalan program SKSJ iaitu membolehkan JPJ berkhidmat terus kepada orang ramai terutama penduduk luar bandar.

Melalui program itu, katanya, pengunjung dapat memanfaatkan kemudahan yang disediakan seperti pemeriksaan motosikal, kaunter bayaran lesen memandu, semakan senarai hitam serta perkhidmatan insurans.

Sementara itu Ismail berkata, kira-kira 1,539 daripada 3,394 kes kesalahan tidak memiliki lesen kenderaan direkodkan di negeri ini melibatkan penunggang motosikal dalam tempoh Januari hingga September lalu.

Setakat Ogos lalu, sebanyak 436 kes kemalangan motosikal dengan 102 kes membabitkan kemalangan maut, 81 cedera parah manakala 253 kes cedera ringan.

Kata Ismail, berbanding sepanjang tahun lalu, kemalangan motosikal ialah sebanyak 798 kes dengan 170 kes maut, 139 kes cedera parah dan 489 kes merupakan kemalangan ringan.

 

Sumber: Utusan Malaysia, 24 Oktober 2011.

Tinggalkan komen