Pemandu tiada lesen memandu bawa pelajar ke Genting

GENTING HIGHLANDS 15 Okt. – Polis berjaya menghalang seorang lelaki daripada membahayakan nyawa sekumpulan pelajar kolej swasta dengan membawa mereka menaiki bas yang dipandu tanpa lesen dari pusat peranginan Genting Highlands apabila menahannya dalam sekatan jalan raya di sini hari ini.

Semasa ditahan, lelaki terbabit yang tidak memiliki lesen memandu dalam perjalanan mengambil kumpulan pelajar berkenaan dari pusat peranginan itu ke ibu negara.

Dia bagaimanapun tidak sempat mengambil pelajar terbabit malah saman apabila ditahan oleh polis trafik dan polis bantuan Genting Highlands yang menjalankan sekatan dalam Operasi Bersepadu itu.

Bas dipandu oleh lelaki terbabit adalah antara ratusan kenderaan yang diperiksa dalam operasi yang bertujuan mencegah kemalangan jalan raya tersebut.

Penguat Kuasa Operasi Trafik Bukit Aman, Deputi Supritendan Tan Hock Tho berkata, selain mencegah kemalangan, operasi itu juga bagi memastikan kenderaan komersial yang kebanyakannya membawa pelancong mematuhi undang-undang.

“Operasi di tiga lokasi menuju ke pusat peranginan itu menyasarkan pemeriksaan terhadap kenderaan komersial seperti bas persiaran, teksi dan van membawa pelancong. Selain itu, pemilik kenderaan persendirian turut diperiksa,” katanya kepada pemberita selepas selesai operasi tersebut.

Hock Tho berkata, sebanyak 68 saman pelbagai kesalahan lalu lintas termasuk tiada cukai jalan dikeluarkan dalam operasi selama tiga jam bermula 10.45 pagi itu.

Tambahnya, operasi tersebut akan diteruskan sehingga esok bagi memastikan pemandu kenderaan mematuhi peraturan lalu lintas.

 

Sumber: Utusan Malaysia, 16 Oktober 2011.

Tinggalkan komen