Wanita positif dadah ditahan memandu tanpa lesen.

MELAKA: Seorang ibu beranak dua ‘mati kutu’ apabila ditahan dan keretanya disita dalam satu sekatan jalan raya oleh pihak berkuasa di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) arah selatan, di sini, malam semalam.

Wanita berusia 32 tahun itu bukan saja tidak mempunyai lesen memandu, malah cukai jalan Proton Gen.2 dipandunya tamat tempoh sejak Disember lalu selain tidak mempunyai insurans.
Kesalahan itu mengakibatkan keretanya terus disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk pemeriksaan lanjut.

Lebih mengejutkan, wanita yang difahamkan baru saja menghantar dua anaknya ke rumah pengasuh di Taman Merdeka, dekat sini, sebelum ke tempat kerja di Melaka Raya turut didapati positif dadah dipercayai syabu dalam ujian saringan pertama yang dijalankan anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
Wanita berkenaan adalah antara sembilan yang ditahan berusia antara 20-an hingga 30-an kerana didapati positif dadah dalam operasi bersepadu dijalankan JPJ, AADK, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR), Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (Spad).
Malah, difahamkan dua wanita berusia 20 dan 21 tahun yang turut ditahan kerana didapati positif dadah cuba meraih simpati anggota AADK dengan memberi alasan mereka mengambil pil diet dan bukannya dadah.

Sementara itu, Pengarah JPJ negeri, Mohd Fadhil Hassan berkata, sebanyak 117 saman dikeluarkan dalam operasi yang dijalankan selama empat jam bermula jam 8.30 malam hingga 12 tengah malam di tiga lokasi iaitu di Lebuh AMJ arah selatan, Lebuh AMJ arah utara dan persimpangan Batu Berendam.
“Dalam operasi malam ini, sebanyak 905 kenderaan termasuk motosikal dan lori diperiksa. Daripada jumlah itu 158 kenderaan diambil tindakan di mana 117 disaman dikeluarkan, manakala sebanyak 181 kesalahan dikesan.

“Malah, kita juga menahan sembilan individu termasuk tiga wanita yang didapati positif dadah. Manakala, sebuah kereta milik wanita berusia 32 disita bersama lapan motosikal atas pelbagai kesalahan,” katanya yang ditemui selepas tamat operasi itu.
Menurutnya, antara kesalahan yang dikesan dilakukan pengguna jalan raya adalah:

  • tiada lesen memandu (73),
  •  cukai jalan tamat tempoh (23),
  • tidak pamer pelekat P/L (6),
  • cermin gelap/lampu HID (50),
  • nombor pendaftaran (4),
  • tiada perlindungan insurans (23), dan
  •  lain-lain kesalahan (2).

Katanya, dalam operasi yang dianggotai 141 anggota itu juga, PDRM mengeluarkan 17 saman atas pelbagai kesalahan, 37 pengguna jalan raya diperiksa air kencing dan sembilan ditahan, satu saman dikeluarkan SPAD kepada kereta sewa kerana gagal mengemukakan permit dan 11 topi keledar diedar JKJR.

Sumber: Harian Metro, 28 Oktober 2011.

Lesen terbang: 3 ditahan SPRM.

KUALA LUMPUR 23 Jun – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga lelaki semalam bagi membantu siasatan berhubung kegiatan sindiket pengeluaran lesen terbang yang dipercayai turut melibatkan beberapa buah sekolah memandu di Lembah Klang dan Selangor.

Ketiga-tiga lelaki yang dipercayai ejen sindiket berusia antara 26 dan 42 tahun itu ditahan di sekitar Pandan Jaya dan Pandan Indah di ibu negara.

Menurut sumber, setakat ini, SPRM percaya sindiket berkenaan membabitkan lebih 10 individu dengan nilai suapan antara RM300 dan RM400 bagi setiap calon yang bersetuju memperoleh lesen terbang.

“Calon-calon berkenaan dipercayai tidak berkeupayaan untuk menduduki peperiksaan kerana sebab-sebab tertentu ataupun faktor masa. Sindiket dikatakan akan mendapatkan ‘calon’ untuk menduduki ujian Bahagian 1 Berkomputer,” kata sumber itu ketika dihubungi di sini hari ini.

Perintah tahanan reman terhadap ketiga-tiga lelaki tersebut dikeluarkan Pendaftar Mahkamah Sesyen Putrajaya, Sharifah Fadzilah Zulkifli selama lima hari bermula hari ini, mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

Menurut kenyataan dikeluarkan oleh SPRM di Putrajaya, calon-calon dipercayai tidak perlu menghadiri ujian berkenaan seperti yang disyaratkan oleh pihak berkuasa tetapi mereka dipastikan lulus ujian itu.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 16(b)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Solah Mat Hassan berkata, pihaknya dan SPRM sedang mengemas kini maklumat-maklumat calon yang terlibat dengan lesen terbang.

Beliau berkata, pihaknya memandang berat isu tersebut kerana pemilikan lesen memandu yang diperolehi secara tidak sah boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya.

Sekiranya calon-calon yang lulus Ujian Bahagian 1 Berkomputer didapati tidak mengikut peraturan-peraturan yang ditetapkan, maka mereka akan disekat daripada menduduki Ujian Bahagian II dan Ujian Bahagian III,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Solah berkata, projek pengkomputeran semula yang sedang dilakukan oleh JPJ akan membantu menyekat penyelewengan dalam Ujian Bahagian 1 Berkomputer.

“Sistem ini dijangka boleh diguna pakai sebelum hujung tahun ini,” katanya.

 

Sumber: Utusan Malaysia, 24 Jun 2011.

257 saman Ops Ambang Merdeka

MELAKA: Polis mengesan segelintir pengguna jalan raya di negeri ini yang sengaja mengubah suai kenderaan, terutama ekzos motosikal untuk mengeluarkan bunyi bising bagi menambah kemeriahan sambutan Hari Kemerdekaan, kelmarin.

Mereka juga dikatakan berlumba-lumba antara satu sama lain yang boleh membahayakan keselamatan pengguna jalan raya lain.

Tabiat buruk itu dikesan dalam Ops Ambang Merdeka oleh Jabatan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, selama enam jam di beberapa jalan utama di sekitar negeri ini.

Dalam operasi bermula kira-kira jam 11 malam itu, sebanyak 15 motosikal dan sebuah lori disita serta 257 saman dikeluarkan kerana melakukan pelbagai kesalahan jalan raya.

Operasi membabitkan kira-kira 100 anggota termasuk polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) dan RELA itu diketuai Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik IPD Melaka Tengah, Superintendan Norhalid Kimi.

Antara lokasi utama operasi, Jalan Mufti Hj Khalil, Dataran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Eye On Malaysia, Tanjung Kling, Tanjung Minyak, Bukit Baru dan Kandang.
Norhalid berkata, kesalahan utama dikenal pasti ialah tidak memiliki lesen memandu, ubah suai kenderaan dan cuba merasuah anggota polis.

Beliau berkata, polis mengeluarkan sebanyak 257 saman atas pelbagai kesalahan termasuk menahan seorang lelaki yang tiada lesen kerana cuba merasuah polis.

“Kita membuat perancangan awal bagi membendung pengguna jalan raya daripada mengambil kesempatan terhadap sambutan Hari Kemerdekaan untuk berbuat sesuka hati di jalan raya,” katanya ketika dihubungi di sini

Sumber: Berita Harian, 2 September 2010.