SKSJ di Lipis- 449 dapat lesen memandu.

KUALA LIPIS 23 Mei – Program 1Komuniti 1JPJ (SKSJ) adalah pendekatan yang digunakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi memberikan perkhidmatan terus kepada masyarakat di kawasan pedalaman.

Selain menyediakan perkhidmatan biasa yang ditawarkan di kaunter-kaunter agensi itu, program tersebut bertujuan mendekati warga JPJ dengan masyarakat setempat melalui pelbagai aktiviti riadah, sukan rakyat dan gotong-royong.

Baru-baru ini program itu diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Panglima Garang Abdul Samad, Benta, Lipis.

Antara aktiviti dianjurkan adalah kursus kepada warga emas dan masyarakat Orang Asli mendapatkan lesen motosikal Kelas B2.

Seramai 449 warga emas dan Orang Asli berjaya mendapatkan lesen motosikal itu yang diadakan secara intensif yang berlangsung selama TIGA HARI itu.

Selain itu, 3,195 warga emas dan Orang Asli dari sembilan daerah di negeri ini berjaya memiliki lesen tersebut sejak diperkenalkan tiga tahun lalu.

Pengarah JPJ Pahang, Datuk Zakaria Man memberitahu, objektif utama program tersebut ialah membawa beberapa aktiviti jabatan ke pedalaman bagi membantu dan mengurangkan bebanan yang ditanggung oleh komuniti terbabit.

Katanya, antara perkhidmatan disediakan ialah menyediakan kaunter pembaharuan lesen memandu, lesen kenderaan motor atau cukai jalan, semakan bayaran kompaun, pemeriksaan khas motosikal yang tamat cukai jalan secara percuma dan khidmat nasihat.

“Kita berharap masyarakat tidak berasa takut berikutan selama ini mereka memandang pegawai dan anggota JPJ dari sudut penguatkuasaan sahaja.

“Saya dapati persepsi komuniti terhadap agensi itu banyak berubah melalui program berkenaan apabila mereka tidak lagi melihat JPJ hanya mahu mencari kesalahan jalan raya,” katanya kepada Utusan Malaysia semasa ditemui pada program tersebut baru-baru ini.

Menurut Zakaria, program itu berjaya mengeratkan hubungan warga JPJ dengan masyarakat setempat melalui pelbagai dianjurkan.

Dalam pada itu, kalangan penduduk kampung di sini melahirkan rasa gembira kerana berpeluang mendapat lesen tersebut walaupun usia mereka kini dikategorikan sebagai warga emas.

Seorang penduduk Kampung Sama, Jerkoh, Sarojini Munusamy, 56, mengucapkan terima kasih kepada JPJ kerana mengadakan program itu di sini.

“Kalau mereka tidak adakan program itu, sampai bila-bila saya akan menunggang motosikal dengan tidak memiliki lesen memandu,” katanya.

Seorang lagi penduduk kampung tersebut, Musa Teh, 63, berkata, dia gembira kerana pada usia emas masih berpeluang untuk memiliki lesen motosikal.

Seorang penduduk Kampung Orang Asli Batu Balai, Jerantut, Bon Ali, 50, berkata, dengan adanya lesen memandu dia berasa lebih selamat menunggang motosikal tanpa ada perasaan takut apabila terserempak dengan pihak berkuasa.

Sebelum ini ujarnya, dia terpaksa berdepan dengan pihak berkuasa ketika mereka membuat sekatan jalan raya yang membuatkan dirinya risau jika dikenakan tindakan.

 

Sumber: Utusan Malaysia, 24 Mei 2011.

SKSJ di Ledang, Johor – 1,014 dapat lesen memandu kelas B2

LEDANG 21 Mei – Seramai 1,014 orang penduduk luar bandar di daerah ini menerima lesen memandu motosikal B2 menerusi Program Satu Komuniti, Satu JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) yang diadakan bagi memudahkan urusan perkhidmatan jabatan itu dengan orang ramai.

Hampir kesemua penerima lesen memandu percubaan (P) tersebut terdiri daripada penduduk tempatan yang berusia 45 tahun ke atas selain tujuh Orang Asli berusia 21 tahun ke atas dalam majlis yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman dan disaksikan Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan.

Menurut Abdul Ghani, program yang mengambil pendekatan turun padang itu telah memberi kesedaran kepada masyarakat luar bandar mengenai pentingnya undang-undang jalan raya dipatuhi dan aspek keselamatan diberi tumpuan.

“Alhamdulillah, program ini mendapat sambutan yang begitu baik dan ini bermakna masyarakat sedar yang mereka perlu ada lesen memandu.

“Mungkin masyarakat luar bandar mempunyai halangan dan kekangan tertentu untuk mendapatkan perkara itu dan usaha JPJ turun padang memudahkan urusan masyarakat,” katanya selepas majlis itu yang berlangsung di Kolej Kemahiran Tinggi Mara Ledang, Serom di sini kelmarin.

Abdul Ghani berharap JPJ akan memperluaskan program mesra rakyat tersebut di samping terus memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

Sementara itu, kata Solah, pendekatan Program Satu Komuniti, Satu JPJ membolehkan anggotanya turun ke luar bandar untuk memberi kursus pendidikan pemanduan, latihan menunggang motosikal dan seterusnya membolehkan peserta menduduki ujian tanpa perlu mengikuti latihan di institusi memandu.

Beliau memberitahu, program yang dikhususkan kepada masyarakat berusia 45 tahun ke atas di kawasan kampung dan pedalaman itu akan mendorong golongan dewasa memberi contoh terbaik kepada anak-anak mereka untuk mendapatkan lesen memandu.

“Mesejnya amat jelas, kalau bapa mereka yang sudah berumur 45 tahun atau 60 tahun boleh berusaha mendapatkan lesen memandu, kesedaran ini akan turun kepada generasi muda terutama lepasan sekolah,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia, 22 Mei 2011.

JPJ mahu perluas program Satu Komuniti Satu JPJ

LEDANG 20 Mei – Kegigihan golongan warga emas mengikuti kursus untuk mendapatkan lesen motosikal di bawah program Satu komuniti, Satu JPJ anjuran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) patut dicontohi oleh generasi muda lepasan sekolah menengah dan kolej di negara ini.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Solah Mat Hassn berharap program tersebut dapat menimbulkan kesedaran kepada golongan tersebut tentang pentingnya mereka mempunyai sikap pemanduan secara berhemah ketika menunggang motosikal di atas jalan raya.

“Ini kerana 60 peratus kematian akibat kemalangan jalan raya di negara ini membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal,” katanya kepada pemberita selepas majlis Satu Komuniti, Satu JPJ anjuran JPJ Johor di Dewan Institut Kemahiran Tinggi Mara di Serom dekat sini hari ini.

Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Serom turut menghadiri majlis tersebut.

Sebanyak 1,016 orang termasuk tujuh daripadanya Orang Asli menerima lesen motosikal di majlis berkenaan.

Menurut Solah, usaha mendapatkan lesen memandu harus disertai dengan sikap memandu secara berhemah dan bersedia mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya.

“Kalau mereka yang telah berusia 45 tahun ke atas malah ada yang sudah berumur 60 tahun sanggup bersusah payah menyertai program ini, apatah lagi golongan muda terutama lepasan sekolah menengah dan kolej kerana lesen memandu adalah satu keperluan,” katanya.

Mengenai program tersebut beliau menerangkan ia adalah satu pendekatan baru untuk membawa perkhidmatan JPJ kepada masyarakat luar bandar terutama mereka yang ingin mendapatkan lesen memandu tanpa perlu ke pejabat JPJ di bandar-bandar.

Katanya JPJ menyedari masyarakat pendalaman menghadapi masalah untuk menjalani kursus pemanduan di sekolah-sekolah memandu kerana kesuntukan masa serta tidak mempunyai pekerjaan tetap.

Beliau gembira kerana sambutan masayrakat terhadap program tersebut amat menggalakkan dan berharap kesedaran pengetahuan pemanduan secara berhemah dapat dipraktikkan. – Bernama,20 Mei 2011.

MB Terengganu saran remaja merempit dirotan ibu bapa

KUALA TERENGGANU: Ibu bapa dan penjaga disaran agar sekali-sekala merotan anak yang terbabit dengan gejala sosial seperti merempit sebagai pengajaran dan kesedaran kepada mereka.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said, berkata beliau kesal dengan sikap sesetengah ibu bapa yang terlalu memberi kebebasan terhadap anak-anak walaupun mengetahui mereka terbabit dengan gejala tidak sihat.

Beliau berkata, masalah remaja terbabit dengan gejala merempit di Terengganu agak berleluasa dan menjadi salah sebuah negeri yang serius dengan gejala itu.

“Ibubapa perlu berani tegur anak-anak, macam satu budaya baru apabila ada ibubapa yang takut nak marah anak-anak,” katanya ketika mengulas kejadian seorang kanak-kanak 11 tahun yang dilanggar mat rempit ketika lari dari sekatan polis di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, Ahmad Fakri Azni dari Kampung Seberang Baruh di sini, cedera parah dan kini koma akibat dirempuh mat rempit yang cuba lari dari sekatan polis kerana tidak mempunyai lesen memandu.

Ahmad Fakri yang patah tulang belakang, retak tempurung kepala dan luka di tangan serta badan, menerima tujuh jahitan di kepala dan kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah, di sini.

Remaja mat rempit berumur 18 tahun dan berasal dari Kampung Tok Imam Lapar, Kuala Telemong, Hulu Terengganu itu ditahan polis tidak lama selepas kejadian.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata untuk mengekang kegiatan mat rempit di jalanan, kerajaan negeri akan membina sebuah litar lumba di tapak yang sedang dikenalpasti.

“Kalau ada anak Terengganu yang mempunyai bakat dan minat nak jadi pelumba profesional, kita sedia latih mereka,” katanya.

Beliau turut meluangkan masa melawat kanak-kanak itu yang kini dirawat di Unit Rawatan Rapi hospital berkenaan. – BERNAMA, 16 Mei 2011.

Belajar memandu di Kedah dipantau

BALING 14 Mei – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah mengambil pendekatan serius yang lebih efektif terhadap calon baru dan institut latihan memandu di negeri ini bagi melahirkan lebih ramai pemandu cekap dan berhemah di jalan raya selepas mendapat lesen.

Pengarahnya, Ahmad Musadad Sulaiman berkata, pendekatan itu ialah memberi penekanan terhadap latihan dan pengajaran serta memantau kesemua 16 institut itu di Kedah.

“Ia penting kerana setiap institut terbabit bertanggungjawab melahirkan lebih ramai pemandu yang berdisiplin di jalan raya ke arah mengurangkan kadar kemalangan jalan raya,” katanya kepada pemberita selepas melawat Institut Memandu Pakatan Latihan Baling di sini, hari ini.

Beliau berkata, tenaga pengajar institut memandu bertanggungjawab memastikan semua sukatan pembelajaran disampaikan dengan berkesan kepada calon latihan memandu.

“JPJ amat mengharapkan kerjasama setiap institut supaya mengikut sukatan pembelajaran yang ditetapkan oleh JPJ agar pemandu baru mematuhi peraturan jalan raya apabila mereka selesai mengikuti latihan dan pengujian,” katanya.

Terdahulu, beliau turut meninjau bangunan untuk dijadikan pejabat kecil JPJ di daerah ini bagi memudahkan masyarakat setempat berurusan dengan JPJ tanpa perlu ke Kulim atau Sungai Petani.

“Pejabat kecil JPJ di daerah ini perlu kerana memberi kemudahan kepada penduduk di luar bandar mendapat faedah kerana jarak untuk berurusan dengan JPJ Sungai Petani dan Kulim amat jauh,” katanya.

Sementara itu, beliau meminta ibu bapa agar menasihatkan anak-anak mereka sentiasa memakai topi keledar ketika menunggang motosikal dan jangan menganggapnya sebagai perkara remeh.

 

Sumber: Utusan Malaysia, 16 Mei 2011.

Apa kata pengguna: Pemandu tak berhemah patut kursus sekali lagi.

SAYA adalah pekerja sebuah syarikat swasta di ibu kota yang sering memandu untuk ke tempat kerja. Pada kebiasaannya saya bertolak seawal jam 8 pagi dari rumah. Saya pasti bukan saya saja yang melalui Lebuh Raya Bertingkat Ampang (AKLEH). Malah, ratusan ribu pemandu.

Apa yang menjadi kekesalan adalah sikap pemandu yang menggunakan lebuh raya itu TIDAK tahu fungsi lampu isyarat.

Mereka sesuka hati menukar laluan tanpa mempedulikan pemandu lain yang mengekori di belakang. Tiga hari lalu saya hampir terlanggar sebuah kenderaan yang pada mulanya berada di laluan kiri.

Dengan tidak semena-mena pemandunya mengubah laluan, lalu membelok ke kanan tanpa memberi isyarat. Tidak memberi isyarat adalah satu hal, kemudian memandu perlahan di laluan kanan.

Pada pandangan saya ini adalah satu perbuatan tidak wajar. Pemandu terbabit bukan saja mementingkan diri sendiri, tetapi membahayakan keselamatan pemandu lain. Ada baiknya pemandu seperti ini jika dapat dikesan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), dipanggil untuk menjalani kursus memandu sekali lagi. 

Seharusnya JPJ menetapkan syarat ‘driving hours’ (waktu pemanduan) yang lebih lama kepada rakyat negara ini yang berhajat untuk mendapatkan lesen memandu. Sama ada lesen kereta, motosikal mahupun kenderaan lain. 

PEMANDU PRIHATIN, Ampang, Selangor.

 

Surat disiarkan dalam Berita Harian, 6 Mei 2011.

Kadar saman polis, JPJ, DBKL kini diselaras

KUALA LUMPUR 6 Mei – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyelaraskan sistem pembayaran saman bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi pendekatan ‘Lebih lama tangguh, lebih tinggi dibayar’.

Penyelarasan kompaun berkuat kuasa mulai 1 Mac lalu itu disiarkan melalui laman sosial Facebook PDRM hari ini yang turut menyenaraikan kadar kompaun mengikut empat kategori kesalahan.

Kategori pertama kesalahan tidak diberi sebarang pengurangan kerana menjadi penyumbang utama kemalangan, keselamatan, pengguna, kesesakan lalu lintas dan perkhidmatan pengangkutan awam.

Kategori kedua iaitu kesalahan berkaitan tingkah laku negatif pemandu dan kesalahan teknikal pada kenderaan yang boleh menyumbang secara aktif kepada kemalangan, kesesakan dan perkhidmatan pengangkutan awam.

Kategori ketiga iaitu kesalahan teknikal pada kenderaan yang secara pasif boleh meningkatkan risiko kemalangan, kesesakan dan perkhidmatan pengangkutan awam.

Kategori keempat pula iaitu kesalahan selain daripada di atas yang tidak menyumbang kepada kemalangan, kesesakan dan perkhidmatan pengangkutan awam.

Kategori kedua, ketiga dan keempat mempunyai pengurangan berdasarkan tiga had tempoh diberi iaitu satu sehingga 15 hari, 16 hingga 30 hari dan 31 hingga 60 hari.

Sumber: Utusan Malaysia, 7 Mei 2011.