MB Terengganu saran remaja merempit dirotan ibu bapa

KUALA TERENGGANU: Ibu bapa dan penjaga disaran agar sekali-sekala merotan anak yang terbabit dengan gejala sosial seperti merempit sebagai pengajaran dan kesedaran kepada mereka.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said, berkata beliau kesal dengan sikap sesetengah ibu bapa yang terlalu memberi kebebasan terhadap anak-anak walaupun mengetahui mereka terbabit dengan gejala tidak sihat.

Beliau berkata, masalah remaja terbabit dengan gejala merempit di Terengganu agak berleluasa dan menjadi salah sebuah negeri yang serius dengan gejala itu.

“Ibubapa perlu berani tegur anak-anak, macam satu budaya baru apabila ada ibubapa yang takut nak marah anak-anak,” katanya ketika mengulas kejadian seorang kanak-kanak 11 tahun yang dilanggar mat rempit ketika lari dari sekatan polis di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, Ahmad Fakri Azni dari Kampung Seberang Baruh di sini, cedera parah dan kini koma akibat dirempuh mat rempit yang cuba lari dari sekatan polis kerana tidak mempunyai lesen memandu.

Ahmad Fakri yang patah tulang belakang, retak tempurung kepala dan luka di tangan serta badan, menerima tujuh jahitan di kepala dan kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah, di sini.

Remaja mat rempit berumur 18 tahun dan berasal dari Kampung Tok Imam Lapar, Kuala Telemong, Hulu Terengganu itu ditahan polis tidak lama selepas kejadian.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata untuk mengekang kegiatan mat rempit di jalanan, kerajaan negeri akan membina sebuah litar lumba di tapak yang sedang dikenalpasti.

“Kalau ada anak Terengganu yang mempunyai bakat dan minat nak jadi pelumba profesional, kita sedia latih mereka,” katanya.

Beliau turut meluangkan masa melawat kanak-kanak itu yang kini dirawat di Unit Rawatan Rapi hospital berkenaan. – BERNAMA, 16 Mei 2011.

Tinggalkan komen