Warga asing tidak kisah 
pandu kenderaan perdagangan walau tanpa lesen GDL.

CAMERON HIGHLANDS 16 Nov. – Daerah ini bagaikan pekan koboi apabila warga asing yang hanya mempunyai permit bekerja di kebun bebas memandu kenderaan perdagangan bagi mengangkut dan menghantar barang di sini.

Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar daerah ini mendapati, mes­kipun operasi memburu pendatang asing tanpa izin (PATI) sedang giat dilakukan pelbagai agensi, warga asing khususnya Bangladesh dilihat masih bekerja dengan memandu kenderaan perdagangan.

Ada antara mereka dilihat memandu berulang-alik dari kebun ke pekan terdekat untuk membawa hasil pertanian dan pelbagai barang lain.

Mungkin ketiadaan operasi berterusan daripada pihak terbabit, khususnya Jabatan Pengangkutan Jalan membuatkan warga asing yang sudah pastinya tidak mempunyai lesen kenderaan perdagangan bebas memandu ke sana-sini.

Malah, difahamkan kebanyakan kenderaan digunakan turut me­langgar pelbagai peraturan lalu-lintas seperti tiada kelulusan pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Berkomputer Sdn. Bhd. (Puspakom) dan sebagainya.

Presiden Persatuan Kesedaran Alam Sekitar Cameron Highlands (Reach), R. Ramakrisnan berkata, kebiasaannya lebih ramai pemandu warga asing ini akan bekerja pada waktu malam iaitu dari pukul 8 hingga 9 malam bagi menghantar pelbagai barangan termasuk gas memasak dan sebagainya.

Kalau lori komersial, mesti ada lesen memandu kenderaan barang (GDL), Bangladesh mana ada GDL, kalau ada lesen antarabangsa sekalipun mereka hanya boleh membawa kereta persendirian sahaja dan tidak boleh kenderaan perdagangan.

“Mungkin mereka melihat pihak terbabit termasuk JPJ tidak bersungguh-sungguh melakukan operasi di sini menyebabkan pelbagai kesalahan lalu-lintas bebas dilakukan,” katanya.

Tambahnya, berdasarkan maklumat terdapat pelbagai kesalahan melibatkan pengangkutan termasuk ketiadaan cukai jalan dan tanpa pemeriksaan Puspakom.

Malah, tambahnya, ada kenderaan menggunakan nombor pendaftaran dan cukai jalan palsu.

Sumber: Berita Harian, 17 November 2014.

JANGAN pecut kereta kalau lesen dah tamat tempoh.

Kuala Lumpur: Seorang pemandu lelaki bertindak agresif memecut kereta melawan arus bagi mengelak diberkas polis hanya kerana lesen memandunya sudah tamat tempoh.

Suspek lelaki berusia 30-an itu dikejar kereta peronda polis sejauh lebih tujuh kilometer berhampiran Lebuhraya Duke arah Sentul di sini, sekitar jam 1 pagi semalam.

Sumber berkata, suspek dikatakan panik selepas terserempak kenderaan polis yang cuba menahannya bagi tujuan pemeriksaan.

Menurutnya, suspek kemudian cuba melepaskan diri daripada ditahan polis dengan memandu laju Perodua Alza miliknya.

“Anggota polis peronda terpaksa meminta bantuan sebuah lagi kereta peronda polis sebelum berjaya memintas dan menahan kenderaan suspek.

“Sejurus ditahan, suspek mengaku dia panik dan takut ditahan polis kerana lesen memandunya sudah tamat tempoh. Semasa ditahan lelaki terbabit turut membawa dua lagi rakannya,” katanya.

Menurutnya, polis yang melakukan pemeriksaan rapi tidak menemui sebarang objek berbahaya atau menyalahi undang-undang di dalam kenderaan itu.

“Bagaimanapun satu saman terhadap mangsa tetap dikeluarkan kerana suspek memandu dengan lesen sudah tamat tempoh.

“Dia turut diberikan amaran keras supaya tidak memandu secara berbahaya,” katanya.

Sementara itu jurucakap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul mengesahkan kejadian itu.

Sumber: Harian Metro, 8 November 2014.

Apabila pemegang rekod jenayah jadi pemandu teksi.

Pemandu teksi ada rekod jenayah samun penumpang

KUALA LUMPUR 17 Okt. – Anda boleh bayangkan betapa ngerinya apabila seorang lelaki yang mempunyai rekod kes bunuh, dadah dan empat kali dibuang daerah menjadi pemandu teksi di ibu negara.

Kejadian ini benar-benar berlaku dan rekod peribadinya terbongkar setelah penjenayah yang baru berumur 27 tahun ini menyamun enam penumpang teksi, kebanyakannya pelancong asing.

Polis yang menubuhkan pasukan khas untuk memberkas suspek setelah menerima enam laporan kegiatan jenayah pemandu teksi itu berjaya mencekupnya semasa dia sedang mencari penumpang di Jalan Thamby Pillay di sini, Sabtu lalu kira-kira pukul 3.45 pagi.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Azlee Abdullah berkata, pihaknya segera menubuhkan pasukan khas selepas menerima tiga aduan kes samun yang sama di daerah ini selain tiga lagi di kawasan lain,

Suspek merosakkan nombor plat kenderaannya bagi mengelakkan dicatat oleh mangsa,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Azlee, polis merampas dua komputer riba, telefon bimbit pelbagai jenama, wang tunai, jam tangan, kamera, pisau, gunting, dompet serta pelbagai resit jualan telefon dan surat pajak gadai dalam teksi suspek.

Katanya, suspek juga memiliki dua rekod jenayah membabitkan kes bunuh dan berkaitan dadah selain empat rekod buang daerah.

“Kita mendapati teksi yang dipandu suspek milik bapa saudaranya dan dia tidak mempunyai lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV),” katanya.

 

 

Sumber: Utusan Malaysia, 18 Oktober 2014.

Bila Si Kudung boleh lulus ujian dalam sekali percubaan.

Riga (Latvia): Lulus ujian memandu dalam cubaan kali pertama menjadi kebanggaan bagi kebanyakan orang.

Bagaimanapun, bagi lelaki warga Latvia, Gatis Caunitis, kejayaan itu lebih menakjubkan memandangkan dia kudung kedua-dua belah tangan dan hanya menggunakan kaki untuk memandu kereta.

Caunitis, 26, dari Riga, berjaya melepas ujian memandu dan memperoleh lesen penuh kelmarin dengan hanya menggunakan kaki untuk mengawal kenderaannya.

Dia menggunakan kaki kiri untuk mengawal kereta dengan meletakkannya pada stereng.

Kaki kanan pula digunakan untuk menekan pedal, menukar gear dan menghidupkan enjin.
Walaupun dia hanya menggunakan kakinya, penumpang yang pernah menaiki kereta bersama-sama Caunitis berkata, cara pemanduannya memang selamat.

Lelaki itu kehilangan kedua-dua tangannya pada usia enam tahun apabila dia terkena renjatan elektrik selepas memasuki sebuah unit bekalan tenaga itu yang tidak berkunci semasa bermain sembunyi-sembunyi.

Bagaimanapun, kecacatan itu tidak mematikan semangatnya untuk menjalani kehidupan seperti orang biasa atau menyekatnya daripada belajar memandu.

Dia bernasib baik apabila menemui guru memandu yang sanggup membimbingnya.

“Saya lulus teori dan praktikal pada cubaan pertama,” katanya.

 

Sumber: Harian Metro, 18 September 2014.

Jadi Guru Sekolah Memandu pun banyak risikonya…

KUALA LUMPUR 8 Sept. – Seorang jurulatih fizikal didenda RM5,000 atau penjara empat bulan oleh Mahkamah Trafik di sini hari ini selepas mengaku bersalah memandu kereta secara melulu sehingga menyebabkan kematian seorang guru sekolah memandu, Mac lalu.

Majistret Erry Shahriman Nor Aripin menjatuhkan hukuman itu terhadap Jeremy Kho Hui Jaq, 27, yang didakwa melakukan kesalahan itu ketika memandu kereta jenis Nissan Sylphy dan melanggar belakang kereta Perodua Viva yang dipandu oleh mangsa, Daliana Abd. Aziz, 34, bersama penumpang Mohamed Afiq Asrul, 18.

Kejadian didakwa berlaku di Lebuh Raya Duta-Ulu Klang (Duke) kira-kira pukul 3.30 petang, 19 Mac lalu.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan penjara maksimum 12 bulan atau denda antara RM4,000 dan RM10,000 serta lesen memandu percubaan dibatalkan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa, Inspektor Hashimah Hashim memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh kerana insiden itu melibatkan kematian.

Bagaimanapun, peguam Harjeet Singh yang mewakili tertuduh memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan terhadap anak guamnya dengan mengambil kira pengakuan bersalah tertuduh dan dia juga memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis ketika siasatan kes dilakukan.

Tertuduh membayar denda tersebut.

Sumber: Utusan Malaysia, 9 September 2014.

Kematian akibat kemalangan menurun dalam Ops Aidilfitri 2014.

MELAKA 6 Ogos – Jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya di negeri ini yang dicatatkan sepanjang Operasi Hari Raya Aidilfitri oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri menurun sebanyak 40 peratus atau enam kematian berbanding tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan dan Pemulihan Projek negeri, Lim Ban Hong berkata, dari tempoh 21 Julai hingga 5 Ogos lalu sembilan kematian dicatatkan dalam lapan kemalangan maut berbanding 15 kematian dalam 11 kemalangan maut pada operasi sama tahun lalu.

Menurutnya, jumlah mangsa yang mengalami cedera parah juga menurun sebanyak 10 peratus dari 10 orang pada tahun lalu kepada sembilan orang tahun ini.

”Bagaimanapun, jumlah kemalangan yang dicatatkan sepanjang Ops Hari Raya Aidilfitri tahun ini meningkat sebanyak 9.1 peratus kepada 789 kes berbanding 723 kes tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Operasi Penguatkuasaan Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2014 di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) dekat Semabok, di sini malam tadi.

Yang hadir sama Pengarah JPJ negeri, Azaharuldin Abdullah, Setiausaha Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Melaka, Ong Tai Chu dan Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) negeri, M. Shantini.

Jelas Ban Hong, sempena musim perayaan tahun ini juga, terdapat pertambahan sebanyak 8,189 buah kenderaan memasuki Melaka dari 25 hingga 29 Julai di mana ia dikenal pasti antara punca peningkatan jumlah kemalangan sepanjang tempoh operasi.

Justeru katanya, jawatankuasa pengangkutan negeri bersama jabatan-jabatan terlibat akan meneruskan strategi menjalankan penguatkuasaan lebih ketat selain memperhebatkan penguatkuasaan melalui program kesedaran dan pendidikan.

”Diharapkan kedua-dua cara ini dapat dijalankan serentak untuk meningkatkan kesedaran mementingkan keselamatan di jalan raya di kalangan pemandu dan pengguna lalu lintas,” tegasnya.

Sementara itu tambah beliau, sepanjang tempoh operasi berkenaan juga, sebanyak 5,242 buah kenderaan pelbagai jenis telah diperiksa oleh JPJ di mana 377 saman dikeluarkan manakala 364 kenderaan diambil tindakan.

Kesalahan paling banyak dicatatkan ialah TIDAK mempunyai lesen memandu yang sah iaitu sebanyak 157 kes, tidak mempunyai cukai jalan (75 kes), nombor pendaftaran tidak mengikuti spesifikasi dibenarkan (33 kes) serta lain-lain kesalahan termasuk ubah suai kenderaan, cermin gelap, tiada insurans dan memandu bawah umur,” jelasnya.

Operasi yang dijalankan bermula pada pukul 9 malam itu melibatkan 198 anggota penguat kuasa termasuk dari JPJ, MKJR, JKJR, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM).

Sumber: Utusan Malaysia, 7 Ogos 2014.

Patutkah lesen memandu samseng jalanraya digantung?

ELAK pertengkaran dan pastikan anda tidak menjadi ‘road bully’ jika terlibat dengan kemalangan jalan raya untuk mengelak perlakuan amarah anda dirakam serta disebarkan dalam media sosial, sekali gus menjadi viral seperti insiden yang berlaku di Kuantan, Pahang, baru-baru ini.

Kejadian ‘road bully’ atau pembuli jalan raya atau samseng jalan raya bukanlah suatu perkara baharu di Malaysia. Sejak 1995, ia telah mula diperkatakan dan turut mendapat perhatian dalam kalangan wakil-wakil rakyat sehingga diperdebatkan dalam sidang Parlimen.

Polis Kuala Lumpur pada 1996 pernah mengemukakan kertas cadangan kepada Ketua Polis Negara (KPN) ketika itu, Tan Sri Rahim Noor agar tindakan tegas dikenakan termasuk membatal atau menarik balik lesen pemandu yang bersalah dalam gejala samseng jalan raya.

Ini kerana golongan berkenaan lazimnya mengeluarkan senjata seperti pisau, kayu hoki, kayu besbol, kayu golf dan besi pengunci stereng kereta sebagai senjata, dan mereka tidak teragak-agak bertindak ganas jika tidak berpuas hati dengan pengguna kenderaan lain.

Kejadian terbaharu di Kuantan melibatkan seorang wanita muda yang mengamuk menggunakan besi pengunci stereng setelah kereta Peugeot 208 yang baharu dibelinya sebulan lalu dilanggar oleh seorang warga emas lelaki hanyalah picisan daripada 1,001 kisah pembuli jalan raya di negara ini.

Golongan yang tidak pernah pupus ini ternyata tidak mampu mengawal amarah dan bertindak mengikut perasaan tanpa memikirkan rasional perbuatan yang dilakukan walaupun kemalangan yang berlaku hanya melibatkan kerosakan kecil.

Tanpa mereka sedari, natijah yang terpaksa ditanggung akibat perlakuan ‘kurang siuman’ seketika itu lebih besar kesannya daripada kerosakan kenderaan yang mereka alami kerana negara ini mempunyai undang-undang yang tidak pernah melepaskan sesiapa sahaja yang gemar mengambil tindakan sendiri.

Perkara itu juga terpaksa ditanggung oleh Kiki atau nama sebenarnya, Siti Fairrah Asyikin Kamaruddin, 30, apabila dia telah dikenakan denda RM5,000 dan diperintah melakukan khidmat sosial selama 240 jam dalam tempoh tiga bulan oleh Mahkamah Sesyen di Kuantan, baru-baru ini.

Dia terlebih dahulu telahpun menerima hukuman di ‘mahkamah awam’ apabila dilemparkan dengan pelbagai cacian dan kutukan setelah video sikap biadapnya terhadap lelaki tua terbabit yang secara tidak sengaja melanggar keretanya tersebar di media sosial sehingga turut mendapat perhatian KPN, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Walaupun dia telah meminta maaf dan warga emas terbabit juga telah memaafkannya, namun segalanya telah terlambat, ibarat ‘nasi telah menjadi bubur’, Kiki terpaksa menanggung akibat daripada perbuatannya itu.

Sebelum ini, beberapa kes pembuli jalan raya turut mendapat liputan media massa dengan ada di antara mangsa di dalam kes tersebut bukan sahaja mengalami kecacatan kekal, malah ada yang maut. Berikut paparan kes-kes berkenaan yang dilaporkan berlaku di dalam dan di luar negara:

MALAYSIA

* 30 September 2013 – Pemandu teksi warga emas, Hiew Chen Guang, 66, mati setelah koma selama seminggu ekoran dibelasah teruk oleh seorang samseng jalan raya di Jalan Klang Lama selepas dikatakan terlanggar seorang penunggang motosikal di hadapan keretanya.

* 29 Jun 2012 – Hanya kerana membunyikan hon ke arah sebuah kereta yang menghalang laluan di Jalan Kuching, Kuala Lumpur, seorang nenek, Yap Kim Fatt, 55, ditumbuk bertubi-tubi oleh pemandu kenderaan terbabit.

* 26 Januari 2005 – Pembantu jurutera komputer, Mohd. Nazri Ismail, 28, maut setelah bertarung nyawa hampir 17 jam di Hospital Kuala Lumpur, dipercayai akibat dipukul dengan objek keras oleh tiga samseng jalan raya setelah dikatakan kenderaannya terlibat dalam satu kemalangan kecil dengan kereta suspek di Jalan Kewajipan, Subang Jaya, awal pagi, sehari sebelum itu.

* 22 November 2004 – Seorang anak tauke kedai ubat, Teo Kai Siang, 22, mati ditikam seorang lelaki selepas cuba mendapatkan penjelasan kenapa kenderaannya dihimpit dan dilanggar di kilometer 20 Jalan Johor Bahru-Pontian.

* 6 Julai 2004 – Seorang pemandu kereta mengugut seorang pengguna jalan raya dengan parang selepas mangsa enggan memberikan laluan di persimpangan lampu isyarat di Serdang, Selangor.

* 28 April 2004 – Seorang wanita, Young Chew Ha, 61, maut manakala anaknya, Chew Saw Bee, 26, parah selepas kereta mereka terbabas lalu terhumban ke dalam Sungai Kapar di Klang dipercayai ketika melarikan diri daripada samseng jalan raya.

* 15 Oktober 2003 – Seorang lelaki, Selva Kumar Alagesu, 27, diserang empat lelaki bersenjatakan parang selepas berlaku perlanggaran kecil di Jalan Bukit, Kajang. Mangsa dikatakan hilang dipercayai dibunuh dengan mayatnya tidak dijumpai.

* 26 September 2003 – Seorang pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) nyaris maut apabila seorang lelaki dipercayai pembuli jalan raya menikam lehernya dengan pisau di Seksyen 14, Shah Alam.

* 24 Januari 1995 – Pasangan kelamin dari Singapura, Mohd. Rafi Mohd. Ibrahim, hilang mata kanan akibat dipukul, manakala isterinya, Khatijah Idoo yang ketika itu hamil empat minggu ditolak kasar oleh seorang pemandu bas ekspres serta pembantunya kerana berang apabila Mohd. Rafi memberi isyarat supaya memandu lebih berhati-hati.

BRUNEI

* 19 Mei 2014 – Kerana marah kereta dipintas, seorang lelaki tempatan yang bertindak ganas, dijatuhi hukuman penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret pada tarikh berkenaan. Tertuduh, Mohammad Hassanalhamizan Mohd. Ibrahim, 22, dikatakan merempuh kereta mangsa sebanyak tiga kali sehingga menyebabkan kerosakan teruk di Jalan Jerudong pada 1 September 2011.

AMERIKA SYARIKAT

* 5 Disember 2005 – Dua waran dikeluarkan kepada bekas juara gusti dunia 16 kali, Ric Flair atau nama sebenar Richard Morgan Fliehr, 56, atas kesalahan ringan menyerang dan merosakkan harta peribadi seorang lelaki selepas keretanya kemalangan di Jalan I-485, Charlotte, North Carolina, pada 30 November 2005. Flair atau gelarannya ‘The Dirtiest Player In The Game’ dituduh melakukan jenayah itu setelah geram dengan sikap lelaki terbabit yang melengah-lengahkan pergerakan keretanya di jalan raya yang penuh sesak ketika itu.

Oleh RAJMAH HASAN,

Artikel disiarkan dalam Utusan Malaysia, 26 Julai 2014.

 

Warga emas cuai memandu dipenjara 48 bulan, denda RM10,000.

KUALA LUMPUR 11 Julai – Seorang lelaki warga emas dihukum penjara 48 bulan dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret Ampang, dekat sini atas pertuduhan memandu secara cuai sehingga mengorbankan sepasang suami isteri dan dua sepupu mereka dalam satu kemalangan di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2), Bukit Antarabangsa tahun lalu.

Majistret Noor Farah Hazwani Osman menjatuhkan hukuman itu terhadap Masrufi Sain, 67, yang be­kerja sebagai buruh binaan selepas mengubah pengakuan kepada bersalah atas pertuduhan itu hari ini.

Mahkamah juga memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara enam bulan lagi jika gagal membayar denda selain hilang kelayakan memegang lesen memandu selama tiga tahun bermula hari ini.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu ketika memandu kereta Proton Satria secara cuai dan tanpa pertimbangan yang munasabah menyebabkan kemalangan yang mengakibatkan pemandu kereta Perodua Viva dan tiga penumpangnya terbunuh di MRR2, Bukit Antarabangsa di sini kira-kira pukul 5.40 petang, 19 Mei 2013.

Mereka yang terkorban dalam kejadian itu ialah pemandu kenderaan tersebut, Hasbullah Abdul Ghani, 26, isterinya, Nurul Intan Syahida Nordin, 22, sepupu Hasbullah, Tengku Ahmad Faiz Tengku Mohmad, 28, dan Asma Ismail, 23.

Pendakwaan terhadap Masrufi dikemukakan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 1999) yang memperuntukkan hukuman penjara antara dua tahun hingga 10 tahun atau denda minimum RM5,000 dan maksimum RM20,000.

Dalam rayuan sebelum hukuman dijatuhkan, Masrufi memohon agar dia dikenakan hukuman yang ringan atas alasan faktor usia dan sering sakit.

Mengikut fakta kes, ketika kejadian, tertuduh yang memandu kereta Proton Satria dalam perjalanan dari Bukit Antarabangsa ke MRR2 dan menuruni bukit sebelum kereta tersebut merempuh pembahagi jalan ketika memasuki laluan bertentangan lalu melanggar kereta Perodua Viva yang dinaiki keempat-empat mangsa, kemudian kenderaan itu turut dilanggar kereta Suzuki Swift.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, S. Purnima manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Sementara itu, ibu kepada Nurul Intan Syahida, Wan Lili Marsila Wan Jaafar, 45, berkata, sehingga kini dia sukar untuk menerima kenyataan bahawa anak keduanya itu sudah tiada.

“Walaupun saya reda menerima ketentuan Tuhan, namun susah hendak saya gambarkan apabila kehilangan anak sekelip mata. Namun, kami sekeluarga tetap lega kerana semuanya berakhir dengan baik apabila tertuduh menerima hukuman sepatutnya hari ini,” katanya ketika ditemui di luar mahkamah.

Akhbar sebelum ini melaporkan keempat-empat mangsa itu terbunuh dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan, dipercayai berpunca daripada kegagalan brek kereta Proton Satria berfungsi dalam kejadian itu.

Pemandu dan tiga penumpang kereta Perodua Viva itu maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala manakala sekurang-kurangnya tiga lagi penumpang kenderaan lain cedera.

Hasbullah dan isterinya, Nurul Intan Syahida yang duduk di bahagian penumpang depan putus kepala akibat terkena kabel penghadang jalan.

Sumber: Utusan Malaysia, 12 Julai 2014.

PPIM: Ujian memandu secara ICT wajar dilaksana.

KUALA LUMPUR 8 Julai – Pelbagai pihak mengalu-alukan langkah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melaksanakan sistem ujian lesen memandu secara teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) bagi mengurangkan kemungkinan penyelewengan dalam kalangan anggota agensi itu.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya juga percaya langkah tersebut akan dapat memastikan hanya pemohon lesen yang benar-benar lulus ujian sahaja memandu di atas jalan.

“Walaupun sistem itu akan menyebabkan kesukaran kepada pemohon untuk lulus, kaedah tersebut dapat membendung kemalangan jalan raya.

Biar sedikit serta sukar mendapat lesen asalkan bernilai untuk keselamatan diri sendiri mahupun orang lain. Tambahan pula, semua pemohon perlu mengikuti kursus dan latihan memandu dalam tempoh yang panjang supaya lesen itu tidak diperoleh dengan mudah,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Ismail Ahmad baru-baru ini, berhubung pengenalan sistem baharu untuk mendapatkan lesen memandu kenderaan yang akan dikawal selia secara ICT mulai tahun depan.

Menurut Ismail, sistem itu sedang dibangunkan, sekali gus akan menambah baik sistem pengujian sedia ada yang diperkenalkan di institut memandu iaitu pegawai JPJ hanya memainkan 40 peratus peranan bagi menentukan sama ada seseorang calon itu gagal atau lulus manakala 60 peratus lagi ditentukan menerusi sistem berkenaan.

Utusan Malaysia dalam laporan khas pada 13 Julai 2011, menyatakan satu kurikulum memandu baharu akan dilaksanakan JPJ bertujuan mengurangkan kadar kemalangan yang tinggi di dalam negara.

Bekas Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Solah Mat Hassan berkata, pelaksanaan itu yang tertangguh sebelum ini hanya menunggu masa untuk dilaksanakan bergantung pada persediaan pihak industri latihan terlibat.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Keselamatan Pengguna (PKP) Kuala Lumpur, Samsudin Mohamad Fauzi turut menyokong pelaksanaan sistem ujian baharu itu kerana dapat mengurangkan penyelewengan dalam kalangan pegawai JPJ.

“Sistem ini lebih baik tetapi pemantauan berterusan masih perlu dilakukan terhadap anggota dan pegawai JPJ,” ujarnya.

Sumber: Utusan Malaysia,9 Julai 2014.

Belajar memandu harus 22 jam.

Putrajaya: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menggunakan silibus baru bagi Kurikulum Pendidikan Pemandu (KPP) mulai Ogos nanti dengan beberapa penambahbaikan termasuk penambahan satu jam latihan memandu.

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Ismail Ahmad berkata, silibus itu akan menggantikan modul yang digunakan sebelum ini selaras dengan hasrat melahirkan pemandu yang lebih berkualiti dan berkemahiran tinggi.

Pelaksanaan silibus baru itu akan menyaksikan pertambahan jumlah jam latihan daripada 21 kepada 22 jam.

“Pertambahan jumlah jam latihan ini bukan untuk membebankan calon, tetapi memastikan mereka dilengkapi dengan kemahiran pemanduan yang tinggi, bukan calon yang boleh memberi risiko kepada pemandu lain atau diri sendiri kelak,” katanya dalam sidang media di pejabatnya di sini, semalam.

Ismail berkata, KPP akan dikeluarkan dalam bentuk tiga buku seperti manual penguji kelas D Automatik, Kelas D Manual serta Motosikal yang memberi tumpuan kepada kategori lesen yang dipilih pelanggan.

“Sebelum ini, statistik calon yang lulus ujian lesen L hanya 45 peratus, namun selepas silibus baru diperkenalkan kita meletakkan sasaran supaya 75 peratus calon akan lulus ujian itu.

“Bukan setakat memperkenalkan silibus baru, malah ujian L yang akan diduduki calon juga akan diubah supaya tidak ada lagi soalan ujian KPP yang mengelirukan dan disediakan mengikut kategori lesen dipelajari mereka,” katanya.

Sementara itu, Ismail berkata, JPJ akan melaksanakan sistem teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang dikenali sebagai Sistem Berimpak Tinggi mulai April tahun depan bagi menyekat kegiatan lesen terbang pada peringkat tenaga pengajar dan pegawai penilai JPJ.

Beliau berkata, ketika ini sistem JPJ hanya menggunakan 10 peratus kemudahan ICT, sebelum diperluaskan kepada 80 peratus bagi membendung kegiatan itu.

“Ini kerana kaedah manual yang ada sekarang tidak mampu menghalang kegiatan pembelian lesen terbang, sekali gus menyukarkan kita mengesan siapa pemberi dan penerima rasuah.

“Pembangunan semula sistem pengkomputeran JPJ menerusi mySikap sedang dijalankan ketika ini untuk mengawal selia semua proses secara ICT membabitkan peringkat pendaftaran calon sehingga lesen dikeluarkan,” katanya.

Beliau berkata, ia juga akan dilengkapi sistem sistem pengimbas cap jari (biometrik) dan calon perlu melakukannya setiap kali keluar masuk di institut memandu.

 

Sumber: Harian Metro, 4 Julai 2014.