NIBONG TEBAL 23 Okt. – Mereka yang berjaya memperoleh lesen memandu melalui program khas anjuran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) diingatkan supaya sentiasa menjaga nama baik agensi itu dengan mematuhi setiap peraturan jalan raya.
Hal ini demikian kerana mereka dilatih oleh anggota penguat kuasa itu sendiri menerusi program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) dan bukan seperti orang lain yang diajar di sekolah memandu swasta.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Acheh, Datuk Mahmud Zakaria berkata, latihan sedemikian sudah pasti berkualiti dan sewajarnya lesen yang diperoleh dimanfaat sebaik-baiknya.
“Dalam tempoh percubaan dua tahun ini, tunggang motosikal elok- elok supaya lesen tidak ditarik balik. Dengan tenaga pengajar dari JPJ sudah pasti latihannya bermutu.
“Jangan kecewakan JPJ. Guna sepenuhnya untuk diri sendiri dan menjadi teladan kepada masyarakat,” katanya selepas majlis perasmian penutup program SKSJ bagi kawasan Sungai Acheh di sini semalam.
Majlis itu disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah JPJ, Arifin Che Mat dan turut dihadiri Pengarah JPJ Pulau Pinang, Datuk Hassan Yaacob.
Dalam program berkenaan, seramai 316 warga emas dari sekitar Sungai Acheh berjaya memperoleh lesen memandu B2.
Sementara itu seorang peserta, Abdul Rahman Hasmawi, 70, memberitahu, dia mula menunggang motosikal tanpa lesen sejak 10 tahun lalu.
Jelasnya, ketika itu dia hanya berani menunggang di sekitar kampungnya seperti ke masjid atau kedai.
“Sekarang ada lesen, bolehlah saya menunggang sampai ke pekan,” ujarnya.
Sumber: Utusan Malaysia, 24 Oktober 2012.
Filed under: Berita | Tagged: akhbar, B2, Belajar, Belajar memandu, Berita, JPJ, KPP, Kursus, Lesen, Lesen L, Lesen memandu, Lesen P, motorsikal, PDRM, polis, saman, SKSJ, Test JPJ, topi keledar, undang-undang |
Tinggalkan Jawapan