Kadar kompaun baru mulai Mac 2013, ikut kelas kenderaan, tahap serius dan jenis kesalahan.

Polis perlu pertingkat penyampaian, kaedah bayaran notis saman- Pengarang BH.

MULAI 1 Mac ini, pesalah trafik diberi kelonggaran tempoh melunaskan saman dengan kadar kompaun baru, selain pengasingan kepada empat kategori kesalahan berbanding tiga kategori seperti yang diguna pakai sekarang. Mengikut kompaun baru yang diumumkan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha, kelmarin kadarnya ditetapkan mengikut kelas kenderaan, tahap serius dan jenis kesalahan.

Dilihat secara keseluruhan, kadar kompaun baru itu lebih fleksibel dalam beberapa segi, termasuk bayaran minimum RM40 dan maksimum RM300 berbanding kadar yang dikuat kuasa sekarang antara RM100 hingga RM300.

Dengan mengekalkan matlamat, termasuk memupuk nilai murni dan sikap positif ketika memandu di jalan raya, pesalah membayar kompaun lebih awal dapat menikmati diskaun. Bagaimanapun, kadarnya mencapai tahap maksimum jika dibayar dalam tempoh 30 hingga 60 hari selepas pesalah menerima notis saman.

Tahap kedua hukuman kepada pesalah yang ingkar melunaskan kompaun selepas hari ke-60 ialah mendaftarkannya sebagai kes mahkamah dan dihukum mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2010).

 Selain menyediakan alternatif atau tawaran kadar kompaun lebih rendah melalui tiga peringkat masa, kita berharap pesalah menjadi lebih berdisiplin dalam soal membayarnya bagi menikmati diskaun itu. Untuk memperlihatkan kredibiliti peraturan baru ini, pihak berkuasa mesti meneliti beberapa kelemahan ketika penguatkuasaan. Ini termasuk kes individu menerima notis saman bagi kesalahan yang bukan mereka lakukan atau kenderaan disaman bukan milik mereka.

Biarpun dianggap kes terpencil, ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang didalangi pihak tertentu menjadikannya alasan untuk menafikan kredibiliti penguat kuasa dan sistem digunakan. Mereka turut memburuk-burukkan pihak berkuasa, termasuk menuduh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebagai zalim kerana menyekat pembaharuan lesen pesalah trafik yang tidak melunaskan kompaun atau saman.

Pihak berkuasa juga wajar memastikan sistem penyampaian iaitu notis saman benar-benar diterima pesalah, sekali gus mereka dipertanggungjawabkan terhadap notis itu. Pihak berkuasa juga wajar menyediakan sistem kutipan bayaran kompaun yang mesra pelanggan, iaitu paling hampir dengan orang ramai.

Kemudahan membayar kompaun mesti lebih meluas, termasuk menyediakan sistem yang membolehkan balai polis kecil menerima bayaran atau jika pemandu hendak membuat semakan mengenai kesalahan trafik. Tidak sewajarnya hasrat pesalah trafik dihalang oleh kekangan masa dan jarak ke balai polis untuk membuat pembayaran yang lazimnya ditawarkan di ibu pejabat polis daerah, cawangan trafik atau Ibu Pejabat Polis negeri.
Selain itu, isu yang tidak berkesudahan atau memuaskan hati semua pihak, walaupun kadar kompaun baru dikuatkuasakan ialah saman ekor. Pihak berkuasa mesti mencari pendekatan baru untuk mencatatkan kelajuan kenderaan dan pemanduan melebihi had untuk dikenakan saman ekor. Sama ada kaedah ini masih praktikal atau boleh diperbaiki, pihak berkuasa wajar berusaha mengurangkan tindakan melalui saman ekor yang terdedah kepada pertikaian dan notisnya tidak dihormati.

Ketika ini, ada empat juta pesalah saman ekor membabitkan 15 juta saman. Kita tidak mahu ada NGO atau pihak tertentu mengambil kesempatan, termasuk menyemai persepsi buruk terhadap tindakan pihak berkuasa yang mahu menegakkan undang-undang dan mendisiplinkan pemandu.

 

Sumber: Berita Harian, 25 Ogos 2012.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: