Ramai sokong lesen kelas automatik

KUALA LUMPUR 12 Jan. – Orang ramai menganggap pengenalan lesen memandu kelas automatik selari dengan kehendak semasa memandangkan tidak semua pengguna tahu memandu kenderaan menggunakan transmisi manual.

Tinjauan wartawan Utusan Malaysia di salah sebuah sekolah memandu di Kajang dekat sini hari ini mendapati rata-rata bakal pemandu menyambut baik pelaksanaan penggunaan kenderaan transmisi automatik dalam ujian memandu yang akan bermula Jun depan.

Seorang penuntut kolej, Teoh Boon Sian, 18, berkata, pelaksanaan itu sangat wajar memandangkan negara sudah mengalami perubahan dalam aspek kehidupan rakyat ke arah lebih moden.

“Kita sendiri tahu bahawa ramai yang lebih memilih untuk membawa kenderaan jenis automatik berbanding manual sekarang, jadi pelaksanaan itu dilihat selari dengan kehendak semasa.

“Bukan hanya faktor kesesakan lalu-lintas menjadi faktor ramai memilih membawa kenderaan jenis automatik, malah saya percaya ia melibatkan kemampuan seseorang individu dan faktor kehidupan moden yang turut memberi anjakan kepada pemilihan kenderaan itu,” katanya.

Pelajar, Khaliff Farhan Kamaruzaman, 17, pula berpendapat pelaksanaan itu mempunyai kebaikan dan kelemahan.

“Bagi individu yang lebih mahir memandu kenderaan jenis automatik, pelaksanaan ini mungkin sangat baik bagi mereka kerana boleh mengambil lesen yang dikatakan lebih mudah daripada sistem manual.

“Saya menyokong pelaksanaan ini, namun apa yang dibimbangkan adalah ia akan meningkatkan jumlah kemalangan jalan raya berikutan sistem itu membuatkan seseorang itu dilihat mudah untuk memiliki lesen memandu,” ujarnya.

Tenaga pengajar sebuah sekolah memandu, Mohd. Nasir Mohd. Taib, 53, pula berpendapat penggunaan kenderaan automatik atau manual sebagai kenderaan ujian memandu tiada bezanya.

“Saya menyambut baik pelaksanaan itu. Konsep yang diajar kepada calon tetap sama dan ujian yang bakal mereka lalui juga perkara yang sama, cuma sekarang mereka boleh membuat pilihan.

“Setakat ini, tenaga pengajar belum dimaklumkan lagi tentang kurikulum pendidikan yang baru ini,” katanya.

Bagi T. Tharishinypriya, 18, negara harus bergerak selari dengan arus kemodenan seperti di negara-negara maju.

“Majoriti masyarakat di bandar membeli kereta jenis automatik demi kemudahan terutama bagi mengelak tekanan dalam kesesakan lalu-lintas.

“Jadi, saya percaya pelaksanaan ini diterima orang ramai. Apa yang penting ia banyak membantu mereka yang kurang mahir menggunakan kenderaan manual terutama golongan yang sudah berusia,” ujarnya.

Dalam pada itu, Norsyahira Awang Ahmad, 17, berkata, pelaksanaan itu memberi peluang kepada calon memilih untuk menggunakan jenis kenderaan ketika ujian dilakukan.

“Mungkin ia kelihatan agak rugi kerana hanya memperoleh lesen kenderaan automatik, tetapi ia efektif bagi golongan wanita dan golongan yang sudah berusia,” katanya.

 

Sumber: Utusan Malaysia, 12 Januari 2012.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: