Luar Negara: Akibat melebihi had laju, lesen memandu digantung 6 bulan.

Warga S’pura dilarang memandu di Australia.

SEORANG warga Singapura telah dilarang memandu di jalan-jalan raya Australia selama enam bulan setelah dia ditangkap memandu melebihi had laju ditetapkan di selatan wilayah New South Wales.

Menurut polis, lelaki berusia 38 tahun itu didapati memandu selaju 174 kilometer sejam dalam zon 110 kilometer sejam di Lebuh Raya Hume, dekat Goulburn, tengah hari kelmarin.

Goulburn terletak di antara bandar Sydney dengan ibu kota Australia, Canberra.

Lelaki itu memiliki lesen memandu Singapura.

Beberapa laman berita Australia ditukil sebagai berkata bahawa lelaki berkenaan memberitahu polis Australia bahawa dia baharu lima hari berada di negara kanggaru itu dan tidak mempunyai pengalaman memandu di jalan-jalan raya di negara tersebut.

Australia mengamalkan cara memandu sebelah kanan, sama seperti di Singapura.

Ekoran kesalahan itu, lelaki tersebut diberikan notis saman kerana memandu melebihi 45 kilometer sejam dan hak memandu pelawatnya juga telah digantung selama enam bulan sehingga April depan.

 

Sumber: Cyberita, 17 Oktober 2011.

Tinggalkan komen