SKSJ di Bario- warga emas 84 tahun antara yang lulus.

BARIO 29 Sept. – Mereka berada nun jauh di pedalaman utara negeri ini dan satu-satunya laluan darat yang menghubungkan mereka dengan dunia luar ialah jalan balak yang cukup mencabar.

Perjalanan darat itu mengambil masa yang panjang dan menelan belanja yang jauh lebih besar berbanding menggunakan pesawat penumpang kecil jenis Twin Otter ke Miri yang hanya mengambil masa kira-kira 50 minit.

Namun, apabila memperkatakan mengenai aspek pematuhan undang-undang jalan raya, masyarakat tanah tinggi di sini wajar dipuji kerana jauh di sudut hati, mereka menyimpan impian untuk memiliki lesen memandu.

Mereka sedar, memandu tanpa lesen merupakan satu kesalahan, namun faktor lojistik dan ketiadaan institut memandu kecuali di Miri dan Marudi menghalang usaha itu.

Lantaran itu, apabila Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memilih Bario untuk menganjurkan program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) Khas baru-baru ini, mereka melahirkan kesyukuran dan memberi kerjasama baik bagi menjayakan program berkenaan.

Ramai yang tidak mahu melepaskan peluang keemasan itu, termasuklah seorang warga emas berusia 84 tahun, David Lian Balang Tabaran dan warga emas wanita, Wing Mawan, 62.

Melalui program SKSJ, para peserta berpeluang memperolehi lesen memandu Kelas B2 (motosikal) selepas mengikuti kursus dan ujian kemahiran memandu yang ditetapkan dengan jayanya.

Kesemua 168 peserta yang mengikuti program SKSJ Khas Bario lulus dalam ujian kemahiran memandu dan layak diberi lesen memandu percubaan Kelas B2.

Penghulu Philip Lakai yang berucap mewakili para peserta pada majlis penutup Program SKSJ Khas Bario di Dewan Serbaguna Bario mengucapkan ribuan terima kasih kepada JPJ dan berharap program itu diteruskan pada masa depan.

Beliau turut mengemukakan permohonan supaya jumlah peserta bagi program SKSJ Khas akan datang ditambah bagi memberi peluang kepada lebih ramai penduduk mendapat lesen memandu.

Katanya, para penduduk juga berharap kadar bayaran memperbaharui lesen memandu percubaan mereka boleh dikurangkan.

“Kita juga memohon pertimbangan JPJ untuk mengadakan program SKSJ Khas di sini, khusus untuk mendapatkan lesen memandu Kelas D (kereta).

“Ramai penduduk Bario pada masa sekarang memerlukan lesen memandu kereta bagi membolehkan mereka memandu kenderaan sendiri ke bandar berhampiran,” katanya.

Majlis penutup itu disempurnakan oleh Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hasan dan turut dihadiri Pengarah JPJ Negeri, Ibrahim Othman dan pegawai-pegawai kanan JPJ Putrajaya.

Terdahulu, ketibaan Solah yang ditemani isteri, Datin Rihana Yahya bersama rombongan di pekan Bario disambut meriah mengikut budaya masyarakat Kelabit.

Pada sebelah petang pula, rombongan itu mengadakan kunjungan ke rumah panjang pertama masyarakat Kelabit di sini yang dibina sekitar 1956.

Rumah panjang itu menyimpan sejarah tersendiri dan merupakan tempat lahir ramai golongan cendekiawan dan profesional Kelabit.

Beberapa acara sukan rakyat dan perlawanan bola sepak persahabatan diadakan melibatkan para peserta program SKSJ Khas, penduduk kampung dan para pegawai JPJ.

 

Sumber: Utusan Malaysia, 30 September 2011.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: