Seluruh sistem pengambilan lesen memandu dirombak?

KAJANG 13 Julai – Seluruh sistem pengambilan lesen memandu di negara ini perlu dirombak jika mahu mencapai pengurangan kadar kemalangan jalan raya sehingga 50 peratus menjelang 2020.

Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah berkata, langkah tersebut harus segera dilaksanakan jika tidak mahu banyak lagi nyawa menjadi korban.

‘‘Rombakan itu perlu menyaksikan urusan berkaitan kurikulum, latihan, ujian dan pengawalan perlesenan dilakukan mengikut sistem berasaskan pencapaian hasil pembelajaran.

‘‘Dalam masa sama, tumpuan harus diberikan kepada usaha melahirkan pemandu yang berpengetahuan dan kompeten serta sentiasa mengamalkan budaya keselamatan di jalan raya,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Menurut beliau, kajian yang dijalankan oleh MIROS pada 2007 mendapati, kemalangan sering berlaku disebabkan oleh beberapa faktor terutamanya membabitkan pengetahuan keselamatan jalan raya yang sangat lemah.

Sehubungan itu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah meminta pihaknya menghasilkan satu modul baharu kurikulum pemanduan.

Bagaimanapun katanya, sehingga kini, modul tersebut masih lagi berada di peringkat perbincangan terakhir untuk dilaksanakan.

Mengulas lanjut berkaitan kurikulum baharu latihan memandu yang disediakan pihaknya itu, kata Ahmad Farhan, ia mengandungi silibus berbeza bagi kenderaan iaitu kereta dan motosikal.

‘‘Tiada lagi gabungan yang seperti yang kita lihat dalam buku Kurikulum Pendidikan Pemandu (KPP) sekarang.

‘‘MIROS merasakan kurikulum memandu kereta serta menunggang motosikal wajar diasingkan kerana masing-masing menuntut kemahiran latihan dan ujian berbeza di jalan raya,” katanya.

Modul-modul baharu yang akan ditampilkan menerusi kurikulum tersebut juga kata beliau, akan mendedahkan calon kepada kemahiran pemanduan di jalan raya sebenar.

Ahmad Farhan berkata, sistem latihan sedia ada yang bersifat preskriptif iaitu hanya menekankan kepada topik-topik yang diajar untuk ujian semata-mata, gagal dalam mendidik calon menjadi pemandu kompeten di jalan raya.

‘‘Sistem sedia ada boleh diibaratkan seperti sebuah templat – tiada elemen kejutan kerana semua pihak sudah sedia maklum tentang proses latihan dan ujian. Tanpa disedari, perkara ini telah membuka ruang untuk dicemari elemen integriti.

‘‘Justeru, tidak hairanlah jika ada di kalangan penguji, terlibat dalam gejala rasuah manakala tenaga pengajar pula selesa mengamalkan sikap ‘cincai’ semasa mengajar,” katanya.

 

Sumber: Utusan Malaysia, 14 Julai 2011.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: