Beberapa wanita mula pandu kereta sendiri di Saudi

RIYADH: Beberapa orang wanita di Arab Saudi  memulakan gerakan memandu kereta mereka sendiri pada 17 Jun 2011 dalam usaha mendesak kerajaan supaya membubarkan larangan itu.

Tindakan itu merupakan kemuncak kempen yang dimulakan di Internet sejak dua bulan lalu.

Daripada mengadakan tunjuk perasaan, kaum wanita yang telah mendapat lesen memandu di luar negeri digesa memandu kereta mereka sendiri secara tenang mulai semalam.

Laman Facebook kempen itu berkata usaha tersebut akan ‘diteruskan sehingga perintah diraja dikeluarkan bagi membenarkan wanita memandu’.

Ekoran daripada larangan memandu itu, kaum wanita di Arab Saudi terpaksa menggaji pemandu lelaki asing.

Jika mereka tidak mampu berbuat demikian, golongan itu harus bergantung kepada anggota keluarga lelaki untuk memandu kereta mereka.

‘Pihak berkuasa Arab Saudi harus berhenti melayan wanita sebagai warga kelas kedua dan membuka jalan raya di kerajaan itu kepada pemandu wanita.

‘Larangan memandu bagi kaum wanita di Arab Saudi merupakan sekatan besar ke atas kebebasan mereka bergerak dan menyekat keupayaan mereka melakukan kegiatan seharian seperti keluar bekerja atau ke pasar raya atau menjemput anak mereka daripada sekolah,’ kata badan hak asasi kemanusiaan, Amnesty International, kelmarin.

Kali terakhir tunjuk perasaan besar-besaran berkaitan larangan itu diadakan pada November 1990 apabila 47 wanita memandu 15 kereta di sekitar Riyadh sebelum mereka ditangkap.

Bulan lalu, seorang wanita Arab Saudi, Cik Manal Al-Sharif, 32 tahun, ditahan selama dua minggu selepas melanggar larangan memandu dan memuat naik gambarnya di Internet.

Satu petisyen yang ditandatangani 3,345 orang diserahkan kepada Raja Abdullah bagi menuntut pembebasannya sementara kira-kira 24,000 orang menyokong tindakan Cik Al-Sharif di laman Facebook.

Minggu lalu, enam wanita ditahan selama beberapa jam selepas didapati sedang belajar memandu di satu kawasan lapang di utara Riyadh.

Mereka dibebaskan selepas menandatangi ikrar tidak lagi memandu. — AFP, 18 Jun 2011.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: