Guna plat senget untuk kelirukan JPJ.

KEMAMAN – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu mengesan ‘trend’ terbaru pemandu kereta di negeri ini yang menggunakan nombor plat hadapan yang diletakkan dalam kedudukan senget, sekali gus membuatkan ia sukar dilihat.

Keadaan itu mengelirukan serta menyukarkan penguat kuasa JPJ ketika operasi dilakukan selain nombor pendaftaran itu juga sukar dirakam oleh kamera di zon perangkap had laju.

Ekoran kesalahan terbabit yang dikategorikan dalam kesalahan teknikal, beberapa kereta turut dikenakan kompaun dan diberikan notis arah periksa oleh JPJ pada Operasi Pengarah yang dilakukan di sempadan Terengganu-Pahang, di Kampung Geliga, dekat sini, lewat petang kelmarin.

Pengarahnya, Abdul Rahman Emang Anyie berkata, pada operasi yang dilakukan bermula jam 4.30 hingga 6.30 petang itu sebanyak 12 kesalahan teknikal dikesan termasuk yang membabitkan penggunaan nombor pendaftaran senget.

Untuk kesalahan penggunaan nombor plat sendeng atau senget ini kita turut kenakan hukuman mengikut Seksyen 14(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2010) iaitu kompaun sebanyak RM100 tetapi jika lewat dibayar dalam tempoh yang ditetapkan kompaunnya boleh meningkat kepada RM150 dan RM250.

“Selebihnya kesalahan teknikal dari segi penggunaan cermin gelap. Penggunaan cermin gelap dan juga plat senget ini kita berikan notis arah periksa dalam tempoh 10 hari mengikut Seksyen 61(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang sekiranya notis diingkari saman boleh dikeluarkan,” katanya ketika ditemui pada operasi berkenaan.

Pada operasi selama dua jam melibatkan 25 pegawai dan anggota JPJ itu, sebanyak 24 saman turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan iaitu tiada cukai jalan, tiada lesen memandu dan penggunaan tayar botak.

Mengulas lanjut, kata Abdul Rahman, Kemaman terpilih sebagai lokasi Operasi Pengarah itu memandangkan pada 13 dan 14 Julai depan, JPJ sekali lagi akan berkampung di daerah ini bagi perasmian Program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) siri 2/2012.

“Melalui operasi sebegini pihak kami dapat mendekati masyarakat bagi menguar-uarkan program yang berkonsepkan mesra rakyat ini. Kami mahu masyarakat tahu JPJ bukan sekadar sebagai penguat kuasa undang-undang lalu lintas sahaja malah boleh juga mendekati masyarakat.

“Dengan cara operasi sebegini, rakyat boleh didekati secara terus oleh JPJ tanpa dimanipulasi. Masyarakat tidak seharusnya melihat operasi yang dijalankan itu sebagai halangan atau bebanan kepada mereka tetapi perlu melihat ia sebagai satu pendekatan kaedah mendidik,” katanya.

Menurutnya, perasmian SKSJ siri 2/2012 nanti akan diadakan di Felda Neram 2 membabitkan seramai 500 penduduk seluruh Kemaman termasuk dari Felda Seberang Tayor dan Seri Bandi akan mendapat lesen B2.

 

Sumber: Sinar Harian, 18 Mei 2012.

15,000 di luar bandar terima lesen memandu melalui SKSJ

KANGAR — Kira-kira 15,000 masyarakat luar bandar yang berpendapatan rendah berumur 45 tahun ke atas di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak berjaya mendapatkan lesen memandu kelas B2 melalui program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) sepanjang tahun lepas.

Timbalan Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan Malaysia, Datuk Ismail Ahmad berkata, selain daripada masyarakat luar bandar, program itu juga turut memberi peluang kepada masyarakat Orang Asli yang berumur 21 tahun ke atas untuk mendapatkan lesen memandu.

“Sejak tahun 2009, lebih dari 3,000 masyarakat Orang Asli berjaya mendapatkan lesen melalui program SKSJ yang telah kita laksanakan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penutup Program SJSK peringkat Negeri Perlis di Sekolah Kebangsaan Utan Aji dekat sini hari ini.

Beliau berkata, program itu dilaksanakan bagi membantu masyarakat yang kurang berkemampuan mendapatkan lesen memandu kerana pihak JPJ mengenakan bayaran yang sangat rendah berbanding di sekolah memandu.

“Kita hanya mengambil bayaran yang asas sahaja tanpa mengenakan caj sampingan dan bayaran yang kita kenakan sangat rendah iaitu RM140. Jika calon memohon lesen memandu melalui sekolah memandu, mereka dikenakan bayaran RM250 ke atas,” katanya.

Jelas beliau, pihaknya hanya memfokuskan kepada lesen motosikal kelas B2 sahaja kerana kebanyakkan masyarakat boleh menunggang motosikal dan mempunyai motosikal sendiri berbanding kereta. — BERNAMA, 29 April 2012.

5,000 lesen motosikal dikeluarkan di Terengganu melalui 1Komuniti 1JPJ ( SKSJ).

KEMAMAN – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu mengeluarkan lesen B2 kepada kira-kira 5,000 penunggang motosikal di negeri itu menerusi 10 program di bawah 1Komuniti 1JPJ, yang diperkenalkan sejak 2009.

Pengarah JPJ negeri, Abdul Rahman Emang Anyie berkata, program tersebut akan diteruskan dan kira-kira 500 lesen B2 akan dikeluarkan kepada penunggang motosikal di daerah ini pada Julai depan.

“Kita laksana program ini bagi mendekati masyarakat. Pada program itu, kita akan keluarkan lesen B2 kepada mereka yang layak. Syarat asas ialah peserta tidak pernah mempunyai lesen itu dan berumur 40 tahun atau 21 tahun ke atas bagi Orang Asli,” katanya.

Beliau ditemui pemberita semasa Ops Pengarah di sempadan Terengganu-Pahang di sini hari ini.

Dalam operasi tersebut, Abdul Rahman berkata, JPJ mengesan 12 kesalahan yang dilakukan pengguna jalan raya, termasuk melibatkan nombor pendaftaran yang tidak mengikut peraturan, memasang cermin gelap yang tidak mengikut spesifikasi, tiada cukai jalan dan tiada lesen memandu. – BERNAMA, 17 Mei 2012.

Penduduk Bukit Permai pula terima lesen memandu B2 melalui SKSJ

DAPAT LESEN. Seramai 205 penduduk Dewan Undangan Negeri Bukit Permai yang berusia 45 tahun ke atas berjaya memperoleh lesen P Kelas B2 sempena Program Satu Komuniti Satu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Kampung Rahmat, Kulaijaya baru-baru ini.

Program yang dimulakan sejak tahun 2009 itu bertujuan menjalinkan hubungan mesra antara JPJ dan masyarakat luar bandar.

Pengarah JPJ Johor, Johari Yusof berkata, melalui program itu, masyarakat luar bandar boleh mendapatkan maklumat berkaitan undang-undang jalan raya dan perkhidmatan yang disediakan jabatan berkenaan.

“Melalui program ini, kita juga membantu mereka yang berusia 45 tahun ke atas yang menunggang motosikal tanpa lesen untuk mendapatkan lesen yang sah,” katanya.

Sejak dilaksanakan pada tahun 2009, seramai 5,303 calon berjaya memperoleh lesen B2.

 

Sumber: Kosmo, 16 Mei 2012.

Dah tahu tak ada lesen, janganlah lalu dekat tempat orang berkempen tentang keselamatan jalanraya.

KUALA LUMPUR: Tindakan penunggang motosikal warga asing menghampiri lokasi kempen keselamatan jalan raya umpama ‘menjerat diri’ apabila tujuh daripada mereka disaman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana menunggang motosikal tanpa lesen, semalam.

Kempen yang bertujuan memberi kesedaran kepada penunggang motosikal mengenai pentingnya pemakaian topi keledar bertukar sebaliknya disebabkan sikap sambil lewa penunggang terbabit mematuhi peraturan.
Penolong Pegawai Penguatkuasa JPJ Wilayah Persekutuan, Noor Azam Mohamed berkata, daripada jumlah berkenaan enam saman dikeluarkan terhadap penunggang motosikal, manakala satu lagi kepada seorang pemandu kereta.

 

Kami mengambil tindakan terhadap warga asing terbabit kerana mereka memandu serta menunggang kenderaan tanpa lesen. Bukan saja menyaman pemandu kenderaan, tetapi pemiliknya berdepan tindakan saman.
Semua mereka berdepan tindakan mengikut Seksyen 26 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana tidak memiliki lesen memandu, selain boleh dihukum mengikut Seksyen 90 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana tidak memiliki polisi insurans,” katanya.
Terdahulu, 10 anggota penguat kuasa JPJ menyertai Kempen Advokasi Khas Keselamatan Jalan Raya kali kelapan anjuran Allianz General Insurance (M) Bhd (Allianz Insurance) dengan kerjasama Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) di sini, semalam.

 

Bersempena kempen itu, Allianz menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) menyampaikan sumbangan 50 topi keledar, 20 tempat duduk kanak-kanak, 600 pelekat dan risalah pemanduan berhemah kepada pengguna jalan raya yang menyertai kempen berkenaan.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Allianz General Insurance Company (Malaysia) Bhd (AGIC), Zakri Mohd Khir, Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia Berhad, Jens Reisch dan Pengarah Bahagian Pelaksanaan Program dan Projek JKJR, Mohd Rusdi Mohd Darus.

 

Noor Azam berkata, semua kes membabitkan warga asing berkenaan sudah direkodkan selain menunggu masa dua bulan untuk tindakan mahkamah.

 

Sumber: Harian Metro, 1 Mei 2012.

Modul baru lesen kenderaan automatik diperkenal tahun ini.

PARIT: Populariti tinggi kenderaan automatik dikalangan rakyat Malaysia menyebabkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memperkenalkan modul baru pelajaran memandu selaras dengan lesen memandu kereta automatik yang bakal diperkenalkan tahun ini.

Timbalan Ketua Pengarahnya, Datuk Ismail Ahmad berkata, ia seiring dengan perkembangan semasa pengeluaran kenderaan yang lebih banyak menggunakan gear automatik.
Mungkin dalam tempoh akan datang  SEMUA kenderaan menggunakan pemanduan automatik.

 

“Justeru, kami merangka modul baru yang akan diperkenalkan,” katanya selepas majlis perasmian penutup Program Satu Komuniti Satu JPJ di Sekolah Menengah Kebangsaan Layang-Layang Kiri, di sini, semalam.
Beliau mewakili Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan merasmikan program berkenaan. Hadir sama, Pengarah JPJ negeri, Ramli Awg Seberang.
Ismail berkata, modul baru itu akan dilaksanakan sebaik kajian menyeluruh mengenainya sudah dibuat.

 

 

Dalam perkembangan lain, Ismail berkata, sepanjang tahun lalu, 15,000 penunggang motosikal berjaya mendapat lesen memandu B2 melalui 35 program di seluruh negara.
“Perak sahaja mencatatkan penyertaan 10,691 individu sejak program terbabit dilaksanakan pada 2004. Program berkenaan diadakan sebagai memenuhi slogan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak iaitu ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’,” katanya.

 

Katanya, program berkenaan turut membantu masyarakat luar bandar terutama yang berpendapatan rendah untuk mendapatkan lesen memandu berikutan yuran yang dikenakan lebih rendah iaitu hampir 50 peratus daripada jumlah sebenar.
“Mereka yang mengikuti program itu hanya dikenakan bayaran RM160 berbanding RM250 hingga RM300 yuran untuk belajar di sekolah memandu,” katanya.

 

Sumber: Harian Metro, 23 April 2012.

JPJ sediakan 35 program SKSJ di seluruh negara tahun ini.

BESUT: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengadakan 35 program ‘Satu Komuniti Satu JPJ’ (SKSJ) di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak tahun ini bagi memberi kemudahan kepada masyarakat setempat terutamanya penduduk luar bandar.

Timbalan Pengarah JPJ Datuk Ismail Ahmad berkata antara lain pengisian program itu ialah untuk memberi perkhidmatan kepada orang ramai mengambil lesen memandu di samping mendekatkan JPJ dengan rakyat terutamanya di kawasan luar bandar.

Setakat ini enam daripada program itu telah dilaksanakan dan sambutan masyarakat setempat terutamanya penduduk kampung pedalaman begitu menggalakkan dan memudahkan urusan tanpa perlu ke bandar,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan lesen memandu kepada 500 calon yang berjaya dalam program SKSJ di Gong Bayor, di sini semalam.

Turut hadir Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera Muhammad Fahmi Yusof pada majlis tersebut.

Beliau berkata, setiap negeri telah diarahkan mengadakan tiga program SKSJ tahun ini, kecuali negeri Sabah dan Sarawak masing-masing akan mengadakan lima program.

Ismail berkata seramai 38,033 calon telah lulus ujian dan mendapat lesen memandu sejak program itu diperkenalkan tahun 2009 sehingga kini.

Untuk tahun ini, beliau berkata 15,000 calon dijangka akan memperoleh lesen memandu melalui 35 program SKSJ termasuk Orang Asli.

“Program ini kita turut buka kepada warga lanjut usia iaitu 45 tahun dan ke atas sementara Orang Asli 21 tahun dan ke atas bagi mana-mana individu yang belum mempunyai lesen memandu,” katanya.

Bagi negeri Terengganu, beliau berkata dua lagi program SKSJ akan diadakan selepas ini iaitu di Kuala Berang dan Kemaman. — Bernama, 8 April 2012.

247 warga emas di Sabah dapat lesen motosikal

TAMBUNAN 28 Mac – Seramai 247 warga emas di daerah ini mendapat lesen motosikal dengan bayaran serendah RM150 menerusi Program Satu Komuniti Satu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Tambunan.

Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berkata, program itu memberi manfaat terutama dalam memudahkan penduduk di pedalaman berurusan dengan JPJ tanpa perlu ke bandar.

“Program ini merupakan inisiatif JPJ selaku agensi kerajaan untuk memberi kemudahan kepada warga emas terutama yang berada di kawasan luar bandar untuk mendapatkan lesen motosikal,” katanya selepas merasmikan Program Satu Komuniti Satu JPJ di Pisompuruan Square Tambunan, di sini semalam.

Daerah Tambunan merupakan lokasi kedua yang dipilih oleh JPJ negeri bagi mengadakan program tersebut.

Pairin yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur negeri berkata, selain memudahkan urusan penduduk pedalaman, program berkenaan dapat meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan memiliki lesen memandu.

Katanya, ia memberi peluang kepada penduduk mengetahui kepentingan mematuhi undang-undang, peraturan dan keselamatan yang dilaksanakan kerajaan bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

Dalam program tersebut, pihak JPJ telah menyediakan pelbagai kemudahan perkhidmatan kepada rakyat secara terus termasuk membuka kaunter pembaharuan lesen kereta motor dan lesen memandu serta bayaran kompaun.

Pairin yang juga Pengerusi Majlis Keselamatan Jalan Raya Sabah mengingatkan pengguna jalan raya, pemandu-pemandu, khususnya kepada peserta program itu agar mengamalkan sikap berdisiplin semasa berada di jalan raya.

Katanya, segala peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa perlu dipatuhi manakala lesen memandu dan lesen kenderaan motor sentiasa diperiksa dan dikemas kini agar tidak menimbulkan masalah ketika pemeriksaan.

Beliau memberitahu, perangkaan polis antara tahun 2000 hingga 2009 menunjukkan daripada 364,141 kemalangan di seluruh negara, sejumlah 56,513 melibatkan kemalangan maut.

Katanya, daripada jumlah kemalangan maut tersebut, 60 peratus adalah kemalangan yang melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal.

 

sumber:utusanonline.com, 3 April 2012.

Lebih 3 kali gagal ujian komputer, OKU mohon ujian undang-undang diringankan.

BALING – Seorang penduduk kurang upaya (OKU) di Kampung Charuk Sikin, Kupang Panjang di sini berharap permohonan lesen memandu tanpa mengikuti kelas komputer dapat dipertimbangkan pihak berwajib.

Ahmad Abdul Rahim, 70, ataupun lebih dikenali sebagai Pak Long Pendek berkata, berikutan fizikalnya yang kerdil, dia sering gagal ujian komputer mengakibatkannya gagal untuk memperoleh lesen memandu.

Bapa kepada tiga anak ini berkata, dia mengambil lebih dari tiga kali ujian komputer, namun tidak pernah berjaya.

Keadaan itu mengakibatkan dia terpaksa menunggang motosikal bersama keluarganya tanpa mempunyai sebarang lesen memandu.

“Saya tiada pilihan kerana ahli keluarga hanya mengharapkan saya membawa mereka ke pekan Baling. Justeru, ketiadaan lesen memandu ini amat menyusahkan saya,” katanya.

Menurutnya, dia pernah disaman pihak berkuasa berikutan tidak mempunyai lesen memandu.

“Saya hanya bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM 450 sebulan. Justeru, saya memang tidak mampu menjelaskan saman itu.

“Namun, nasib saya baik kerana ada tokoh korporat yang sudi menjelaskan bayaran saman ini. Kalau tidak, saya mungkin tidak dapat memperbaharui cukai jalan saya,” katanya ketika ditemui, semalam.

Menurutnya, dia bimbang sekiranya terlibat dalam kemalangan yang pasti memberikan kesan buruk kepadanya.

“Disebabkan itu, saya amat berhati-hati ketika menunggang motosikal. Saya tidak mahu terlibat dalam kemalangan. Sekiranya tidak, saya yang akan menanggung kesannya,” katanya.

Menurutnya, walaupun dia bergelar OKU, masyarakat setempat tidak pernah meminggirkannya malah melayannya seperti insan normal.

“Ramai yang bersimpati kepada saya. Kalau saya ke pekan Baling, saya tidak perlu menjelaskan apa-apa bayaran termasuk makan minum kerana semuanya akan ditanggung individu yang bersimpati kepada saya.

“Kadang-kadang, saya berasa segan, tapi, itu lumrah masyarakat di sini,” katanya.

Ahmad berkata, dia bersyukur kerana dijodohkan dengan isteri yang begitu penyayang dan amat mengambil berat terhadap dirinya.

“Walaupun isteri turut berhadapan dengan masalah sama, kami tetap dapat hidup dengan sempurna di samping mendapat sokongan dan bantuan daripada masyarakat mahupun kerajaan.

“Namun, saya hanya mengharapkan pihak tertentu dapat membantu saya memperoleh lesen memandu berikutan terpaksa berhadapan dengan pelbagai risiko.” katanya.

 

Credit to:  Sinar Harian, 12 April 2012.

JPJ akan buka cawangan di Cameron Highlands

GUA MUSANG: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan membuka pejabat cawangannya di Cameron Highlands untuk kemudahan orang ramai membuat urusan berkaitan lesen memandu dan membaharui cukai jalan.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan, berkata bangunan cawangan baru itu sudah dikenal pasti dan kerja membaik pulih akan dilakukan dalam masa terdekat.

“Kami terima banyak pertanyaan daripada orang ramai khususnya pemimpin masyarakat supaya JPJ membuka cawangan di Cameron Highlands kerana selama ini mereka terpaksa berurusan dengan JPJ di Ipoh, Perak atau di Gua Musang.

“Kita rasa bertanggungjawab untuk membuka cawangan JPJ di Cameron Highlands sebagai langkah terbaik untuk mengatasi masalah orang ramai yang ingin berurusan perkara berkaitan,” katanya kepada pemberita selepas Perasmian Penutup Program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) di Lojing, dekat sini hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas Ab Aziz Yusof, Pengarah JPJ Kelantan, Abd Ghani Kasim, dan Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Kelantan/Terengganu, Faridah Mat.

Pada majlis itu, seramai 374 penduduk Orang Asli dari beberapa kampung pedalaman Hulu Kelantan memperoleh lesen memandu kelas B2. 

Solah berkata, JPJ memberi komitmen yang tinggi terhadap permasalahan rakyat negara ini untuk mendapat perkhidmat terbaik terutama memberi kemudahan bagi memperoleh lesen memandu menerusi SKSJ yang mula dilancarkan seluruh negara pada 2009. 
Beliau berkata, program itu diadakan tiga kali setahun untuk setiap negeri dan sepanjang tahun lalu sahaja, seramai 14,836 penduduk mendapat lesen memandu menerusi program itu. 

“Di Kelantan sahaja, seramai 750 penduduk memperoleh lesen memandu. Kami jangka tahun ini, lebih ramai penduduk luar bandar akan diberi peluang mengambil lesen menerusi program itu dengan yang pertama tahun ini, dilaksanakan di Pos Brooke.

“Penduduk Orang Asli yang mendapat lesen memandu itu dari beberapa kampung yang jauh di pedalaman dan mereka tidak bersusah payah mengikuti kelas memandu di akademi memandu berhampiran termasuk di bandar Gua Musang,” katanya. – BERNAMA, 23 Mac 2012.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.