Pelajar 12 tahun antara ditahan
KULAIJAYA 28 Jan. – Polis menahan seramai 30 penunggang dan pembonceng motosikal termasuk empat pelajar berusia 12 dan 13 tahun dalam operasi cegah kemalangan jalan raya di sekitar Pekan Kepala Sawit di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Supritendan Zulkefly Yahya berkata, kesemua mereka yang berusia antara 12 hingga 23 tahun itu ditahan atas pelbagai kesalahan antaranya tidak mempunyai lesen memandu, lesen memandu tamat tempoh dan tidak memakai topi keledar.
”Tiga daripada pelajar berkenaan yang tidak mempunyai lesen memandu datang dari Pontian untuk membeli alat ganti motosikal di pekan ini.
”Seorang lagi pelajar berusia 12 tahun yang berasal dari pekan ini pula ditahan kerana tidak mempunyai lesen memandu selain tidak memakai topi keledar,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut Zulkefly, sebanyak 51 saman dikeluarkan sepanjang operasi berkenaan dan kesemua yang ditahan di bawah ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulaijaya untuk tindakan selanjutnya di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau berkata, pihaknya menjalankan operasi berkenaan bagi mencegah kemalangan jalan raya yang sering berlaku di kawasan berkenaan yang membabitkan motosikal.
Katanya, operasi selama tiga jam bermula pukul 9 pagi itu disertai oleh tiga pegawai dan 26 anggota diketuai oleh Asisten Supritendan Gurvinder Singh.
Sumber: Utusan Malaysia, 29 Januari 2012.
Filed under: Berita Tagged: | akhbar, B2, Berita, cukai jalan, JPJ, kompaun, Lesen, Lesen L, Lesen memandu, Lesen P, motorsikal, PDRM, polis, undang-undang



