114 penunggang, pembonceng motosikal maut antara Januari 2009-September 2009

SETAPAK: Penunggang dan pembonceng motosikal diingatkan supaya memakai topi keledar dengan betul dan mengikut spesifikasi ditetapkan Institut Penyelidikan Industri dan Standard Malaysia (Sirim) bagi memastikan mereka selamat daripada kecederaan teruk jika berlaku kemalangan.

Statistik jumlah kes kemalangan dan kematian di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang dikeluarkan Polis Trafik Kuala Lumpur sejak Januari hingga September 2009, menunjukkan 114 penunggang dan pembonceng motosikal maut sepanjang tahun ini berbanding pemandu dan penumpang motokar yang mencatatkan 40 kes.

Ketua Pengarah DBKL, Datuk Salleh Yusup yang juga Yang Di Pertua Majlis Keselamatan Jalan Raya Wilayah Persekutuan (MKJRWPKL), berkata penggunaan topi keledar dengan kelulusan Sirim dapat mengelakkan kecederaan teruk khususnya di bahagian kepala yang sering menimpa penunggang motosikal.

 

“Paling penting sekali kita minta penunggang motosikal beli topi yang selamat. Kemalangan berlaku sebab mereka tidak memakai topi keledar dengan betul dan tidak ada kelulusan. Kalau jatuh, kepala mudah cedera kerana topi berkenaan tidak dapat melindungi dengan sempurna, ” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Pemusnahan 2,000 topi keledar kura-kura, lusuh dan tidak mempunyai kelulusan Sirim di depan Stor Jabatan Kerja Awam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Jalan Pahang. Hadir sama, Pengarah JKJRWPKL, Muhammad Heeza Hassan yang mengetuai program berkenaan.

Salleh berkata, semua topi keledar berkenaan berjaya dikumpulkan hasil kempen khidmat nasihat Keselamatan Jalan Raya yang dijalankan JKJRWPKL sejak Januari lalu yang bermatlamat meningkatkan kesedaran keselamatan di kalangan penunggang motosikal.

“Sempena kempen itu juga JKRWPKL memberi peluang kepada penunggang untuk menukar topi keledar lama dengan yang baru dan mempunyai piawaian Institut Penyelidikan Industri dan Standard Malaysia (Sirim).

“Kempen ini menumpukan kawasan perumahan dan jalan raya sekitar bandaraya yang turut memberikan nasihat kepada penunggang mengenai kepentingan memakai topi keledar dengan betul dan berkualiti.

“Hari ini sebanyak 150 topi keledar baru diedarkan kepada penunggang dan pembonceng motosikal yang melalui Jalan Pahang termasuk pelekat kuning yang diletakkan di bahagian belakang motosikal bagi memantulkan cahaya di sebelah malam,” katanya.

 

Sumber: Berita Harian, 5 November 2009.

Tinggalkan jawapan