Dari Akhbar: Dua kanak-kanak 10, 11 tahun maut motosikal langgar pokok

IPOH 9 Nov. – Dua kanak-kanak yang masing-masing berusia 10 dan 11 tahun gembira apabila ‘mendapat peluang’ menunggang serta membonceng motosikal untuk bersiar-siar.

Namun kegembiraan yang dikecapi itu bertukar tragedi apabila mereka menemui ajal selepas terbabit dalam kemalangan di Lumut dekat sini petang semalam.

Kejadian berlaku di Kilometer 8 Jalan Lumut-Teluk Batik.

Mangsa yang menunggang motosikal dikenali sebagai Mohamad Firdaus Roslan baru berusia 11 tahun dan pembonceng pula, Mohamad Azrul Shafik Ariffin setahun lebih muda

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 petang itu, motosikal tersebut gagal dikawal lalu terbabas sebelum merempuh sebatang pokok.

Kedua-dua mangsa yang berasal dari Kampung Teluk Batik, Lumut cedera parah di kepala dan meninggal dunia semasa dikejarkan ke Hospital Manjung.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohd. Jamil Osman yang dihubungi Utusan Malaysia berkata, kedua-dua kanak-kanak itu menaiki motosikal tersebut yang diletakkan di sebuah kedai di Teluk Batik, untuk bersiar-siar di kampung mereka.

”Semasa sedang bersiar-siar di kampung tersebut, tiba-tiba motosikal yang mereka naiki terbabas lalu merempuh sebatang pokok di tepi jalan.

”Kedua-duanya kemudian tercampak ke dalam parit dan dibawa ke Hospital Manjung oleh orang ramai. Mangsa meninggal dunia ketika dalam perjalanan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mayat kedua-dua mangsa kemudian dibedah siasat di Hospital Manjung sebelum dituntut oleh keluarga mereka pada pukul 5 petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 petang itu, motosikal tersebut gagal dikawal lalu terbabas sebelum merempuh sebatang pokok.

Kedua-dua mangsa yang berasal dari Kampung Teluk Batik, Lumut cedera parah di kepala dan meninggal dunia semasa dikejarkan ke Hospital Manjung.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohd. Jamil Osman yang dihubungi Utusan Malaysia berkata, kedua-dua kanak-kanak itu menaiki motosikal tersebut yang diletakkan di sebuah kedai di Teluk Batik, untuk bersiar-siar di kampung mereka.

”Semasa sedang bersiar-siar di kampung tersebut, tiba-tiba motosikal yang mereka naiki terbabas lalu merempuh sebatang pokok di tepi jalan.

”Kedua-duanya kemudian tercampak ke dalam parit dan dibawa ke Hospital Manjung oleh orang ramai. Mangsa meninggal dunia ketika dalam perjalanan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mayat kedua-dua mangsa kemudian dibedah siasat di Hospital Manjung sebelum dituntut oleh keluarga mereka pada pukul 5 petang semalam.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41, Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam perkembangan sama, Mohd. Jamil memberitahu, pemilik motosikal itu, seorang lelaki berusia 30-an dari Ipoh membuat laporan polis di Lumut semalam mendakwa motosikalnya dibawa tanpa kebenaran oleh kanak-kanak terbabit.

Menurutnya, lelaki berkenaan mendakwa datang ke Teluk Batik untuk memancing di pantai berhampiran dan meletakkan motosikalnya di sebuah kedai berhampiran.

”Lelaki berkenaan membuat laporan polis apabila menyedari motosikalnya telah diambil tanpa kebenaran oleh kanak-kanak tersebut,” katanya.

 

Utusan Malaysia, 10 November 2009.

 

 

 

Apakah hukuman memandu cuai hingga menyebabkan kematian?

JOHOR BAHRU 5 Nov. – Seorang buruh kasar dihukum penjara dua tahun dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam setelah mengaku memandu secara cuai sehingga menyebabkan kematian seorang lelaki.

Majistret Sharifah Maleeha Syed Hussin menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Mohd. Farook Mohamed, 24, yang mengaku melakukan kesalahan itu sehingga menyebabkan kematian R. Veeramurugan, 36 di Jalan Puteri, Puteri Wangsa, di sini, 26 Julai tahun lalu.

Dakwaan terhadapnya mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM20,000 serta hilang kelayakan mengambil lesen selama tiga tahun.

Ketika rayuan mengurangkan hukuman, Mohd. Farook memohon dikenakan hukuman ringan dengan alasan dia datang daripada keluarga yang kurang berkemampuan selain bertanggungjawab menyara keluarga termasuk seorang adiknya yang cacat.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bela juga melahirkan keinsafan dan berjanji tidak akan mengulangi kesilapan itu yang dilakukan ketika dia tidak mempunyai lesen memandu.

Pendakwaan dikendalikan oleh pegawai pendakwa, Cif Inspektor Adnan Mohamad.

Sumber: Utusan Malaysia, 6 November 2009.

Warga emas lulus ujian undang-undang selepas 950 kali cuba

SEOUL: Seorang wanita yang mengambil ujian bertulis untuk mendapatkan lesen memandu akhirnya berjaya selepas mendudukinya untuk kali yang ke-950.

Cha Sa-Soon, 68, menduduki ujian itu hampir setiap hari sejak April 2005.

Dia juga membelanjakan hampir 5 juta won (RM14,600) untuk membayar yuran peperiksaan tetapi gagal mendapat markah minimum 60 daripada 100 soalan yang diperlukan sebelum ini untuk membolehkannya menduduki ujian memandu.

Cha akhirnya lulus ujian itu dengan markah 60 Rabu lalu, kata pegawai di agensi perlesenan di Jeonju, 130 kilometer ke selatan Seoul.

Menurut pegawai berkenaan, Cha menduduki ujian itu beratus-ratus kali tetapi tidak tahu jumlah sebenar.

Bagaimanapun, media tempatan melaporkan, dia mendudukinya sebanyak 950 kali.

Dia kini mesti lulus ujian memandu sebelum memperoleh lesen.

Wanita itu memberitahu akhbar Korea Times, dia memerlukan lesen itu untuk perniagaan sayurnya. – AP

 

Sumber: Harian Metro, 12 November 2009.

Dari Akhbar: iJPJ permudah warga emas peroleh lesen B2

Lebih 5,000 berusia 45 ke atas mendapat manfaat

ALOR SETAR: Lebih 5,000 rakyat negara ini mendapat manfaat apabila Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memperkenalkan program ‘iJPJ’ bagi membolehkan mereka berusia 45 ke atas termasuk yang tinggal di pedalaman dan buta huruf, memperoleh lesen memandu, awal tahun ini.

Statistik JPJ menunjukkan seramai 5,389 warga emas buta huruf, memperoleh lesen memandu kelas B2 (motosikal di bawah 250 cc di Kedah, Pahang, Terengganu, Perak dan Johor sejak program JPJ dan Anda diperkenalkan 2000.

 

Pengarah Bahagian Korporat dan Penyelidikan JPJ, Zairi Mat Ali, berkata pendekatan turun padang untuk membantu warga emas di kawasan pedalaman adalah semata-mata ingin melihat mereka mempunyai lesen memandu sah.

Katanya, ini berikutan ramai di kalangan warga emas di kawasan pedalaman tidak mempunyai lesen memandu selain mengabaikan aspek keselamatan lain seperti insurans kenderaan tidak diperbaharui dan menyukarkan mereka membuat tuntutan apabila berlaku kema-langan.

“Menerusi program ini, ia akan membolehkan warga emas di desa dan golongan sasar diberi kelonggaran mendapatkan lesen memandu dan hanya perlu memenuhi sukatan pelajaran yang ditetapkan.

“Ini termasuk menghadiri Kursus Kurikulum Pendidikan Pemandu (KPP) selama lima jam, kursus kemahiran menunggang motosikal dan seterusnya menduduki ujian menunggang motosikal yang dijalankan pegawai JPJ.

JPJ membantu mereka memperoleh lesen memandu bagi kelas motosikal lebih mudah berbanding sukatan sebenar apabila mereka terpaksa menghadiri beberapa ujian termasuk ujian undang-undang berkomputer sebelum layak memiliki lesen memandu,” katanya selepas Program 1Komuniti 1JPJ bagi daerah Baling/Sik, di sini semalam.

Hadir sama Pengarah JPJ Kedah, Abd Rahman Hussain dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Belantik, Mohd Tajuddin Abdullah.

Majlis anjuran bersama Pejabat Keda Sik, Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) dan Institut Memandu Pakatan Baling yang mengendalikan sepenuhnya kursus dan latihan memandu kepada calon warga emas.

Dalam program itu seramai 279 warga emas dari daerah Sik dan Baling mendapat lesen memandu kelas B2 bagi membolehkan mereka menunggang motosikal secara sah dan dilindungi insurans.

 

Sumber: Berita Minggu, 8 November 2009.

Juara F1 pun gagal ujian memandu pertama

JENSON Button gagal ujian memandu pertamanya kerana terlalu mengikutkan naluri berlumba, dedah bekas pengajarnya.

Juara Formula Satu dunia itu, ketika itu berusia 17 tahun, digagalkan kerana menyelinap di antara dua kereta di sebuah jalan yang sempit.

Namun di sebalik kegagalan awal itu, pengajar pemanduan Roger Brunt menyifatkan Button sebagai “pelajar terbaik pernah saya miliki”.

Pengajar berusia 62 tahun dari Trowbridge, Wiltshire itu berkata: “Dia gagal ujian itu kerana dia bagaikan berada dalam satu perlumbaan dan menyelinap menerusi satu ruang kecil di sebuah jalan sempit yang terkenal tanpa berkelip matanya.

“Pemeriksa tidak sukakannya kerana ia terlalu merbahaya, tapi Jenson menyedari bahawa dia sudah gagal. Dia marah kepada diri sendiri dengan apa yang dilakukannya, tapi anda perlu menerima kekalahan bila-bila masa.”

Button sudah berlumba go-kart sejak usia lapan tahun dan hanya menduduki lima sesi belajar memandu sebelum mengambil ujian pertamanya.

Brunt, rakan baik bapa Button, John, berkata pemandu muda itu memiliki semua ciri-ciri kegemilangan.

“Dia tahu dengan tepat apa semuanya daripada perkataan mula dan dia menguasai kenderaan dengan sempurna. Kepantasan fikirannya yang amat mengagumkan saya: otaknya amat pantas. Ia benar-benar membantu apabila anda berlumba kerana anda memerlukan keupayaan untuk membuat keputusan sepantas mungkin.

“Bagi jenson, belajar untuk memandu di jalan raya adalah mengenai membiasakan diri berada di kalangan trafik dan agak perlahan daripada apa yang biasa dilaluinya. Dia ada kecenderungan untuk memandu lebih pantas, tapi saya memberitahunya supaya melihat tahap kelajuannya dan dia menuruti apa yang diajar.”

Button kemudiannya mengambil satu lagi ujian pemanduan selepas kegagalan pertama itu dan berjaya kali kedua dengan cemerlang.

Pemeriksa yang memberikannya lesen, Dave Evans, berkata pemandu muda itu memang layak menerima lesennya.

“Jenson jelas lebih hebat daripada pelajar lain kerana dia tahu bagaimana menguasai kenderaan seperti yang dimahukannya, yang memungkinkannya mempunyai lebih masa untuk memberikan tumpuan mengenai apa yang berlaku di luar kereta,” kata pemeriksa berusia 67 tahun dari Friary, Avon.

Beliau dan Brunt mengikuti karier Button penuh minat dan kerap berbincang mengenai kejayaannya menerusi telefon.

“Memang pastinya gembira untuk menyaksikannya menang,” kata Evans. “Dia seorang pemandu yang berhemah dan konservatif, seperti yang diajar Roger, dan dia memandu seperti seorang juara dunia sejati Ahad lalu.”

Button, 29, yang memandu buat pasukan Ross Brawn GP, mencipta sejarah apabila muncul juara baru F1 dunia di Litar Interlagos, Brazil hujung minggu lalu. Dia sekadar menduduki tangga kelima tetapi sudah cukup untuk memastikan kejuaraan.

 

Sumber: Harian Metro.

114 penunggang, pembonceng motosikal maut antara Januari 2009-September 2009

SETAPAK: Penunggang dan pembonceng motosikal diingatkan supaya memakai topi keledar dengan betul dan mengikut spesifikasi ditetapkan Institut Penyelidikan Industri dan Standard Malaysia (Sirim) bagi memastikan mereka selamat daripada kecederaan teruk jika berlaku kemalangan.

Statistik jumlah kes kemalangan dan kematian di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang dikeluarkan Polis Trafik Kuala Lumpur sejak Januari hingga September 2009, menunjukkan 114 penunggang dan pembonceng motosikal maut sepanjang tahun ini berbanding pemandu dan penumpang motokar yang mencatatkan 40 kes.

Ketua Pengarah DBKL, Datuk Salleh Yusup yang juga Yang Di Pertua Majlis Keselamatan Jalan Raya Wilayah Persekutuan (MKJRWPKL), berkata penggunaan topi keledar dengan kelulusan Sirim dapat mengelakkan kecederaan teruk khususnya di bahagian kepala yang sering menimpa penunggang motosikal.

 

“Paling penting sekali kita minta penunggang motosikal beli topi yang selamat. Kemalangan berlaku sebab mereka tidak memakai topi keledar dengan betul dan tidak ada kelulusan. Kalau jatuh, kepala mudah cedera kerana topi berkenaan tidak dapat melindungi dengan sempurna, ” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Pemusnahan 2,000 topi keledar kura-kura, lusuh dan tidak mempunyai kelulusan Sirim di depan Stor Jabatan Kerja Awam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Jalan Pahang. Hadir sama, Pengarah JKJRWPKL, Muhammad Heeza Hassan yang mengetuai program berkenaan.

Salleh berkata, semua topi keledar berkenaan berjaya dikumpulkan hasil kempen khidmat nasihat Keselamatan Jalan Raya yang dijalankan JKJRWPKL sejak Januari lalu yang bermatlamat meningkatkan kesedaran keselamatan di kalangan penunggang motosikal.

“Sempena kempen itu juga JKRWPKL memberi peluang kepada penunggang untuk menukar topi keledar lama dengan yang baru dan mempunyai piawaian Institut Penyelidikan Industri dan Standard Malaysia (Sirim).

“Kempen ini menumpukan kawasan perumahan dan jalan raya sekitar bandaraya yang turut memberikan nasihat kepada penunggang mengenai kepentingan memakai topi keledar dengan betul dan berkualiti.

“Hari ini sebanyak 150 topi keledar baru diedarkan kepada penunggang dan pembonceng motosikal yang melalui Jalan Pahang termasuk pelekat kuning yang diletakkan di bahagian belakang motosikal bagi memantulkan cahaya di sebelah malam,” katanya.

 

Sumber: Berita Harian, 5 November 2009.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 80 other followers