Masih ada pengguna tidak penting keselamatan

KANGAR 9 Okt. – SIKAP sesetengah pengguna yang tidak begitu mengambil berat mengenai keselamatan anak-anak turut menjadi punca kemalangan di jalan raya.

Mereka bukan sahaja membawa anak- anak tanpa memakai topi keledar malah ada yang sanggup mengambil risiko dengan membawa pembonceng yang berlebihan.

Perbuatan ini bukan sahaja mengundang bahaya malah maut dan ini meresahkan pengguna jalan raya yang lain.

Apa yang jelas, polis mendapati kebanyakan penunggang dan pembonceng motosikal di kawasan luar bandar dan pinggir bandar di Perlis tidak memakai topi keledar.

Antara kumpulan pengguna yang tidak mengambil berat terhadap kepentingan itu ialah pelajar, ibu bapa yang menghantar anak ke sekolah, remaja ke gelanggang futsal dan golongan veteran ke pusat ibadat termasuk ke masjid.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Polis Trafik negeri, Deputi Supritendan Ishak Mamat memberitahu, berikutan kecuaian itu, ia mendedahkan mereka kepada risiko kecederaan yang tinggi jika terlibat dalam kemalangan.

Beliau juga menyatakan, polis mendapati tahap kesedaran berhubung kepentingan pemakaian topi keledar di negeri ini masih rendah.

“Mereka mungkin bertanggapan topi keledar hanya perlu dipakai ketika menaiki motosikal ke kawasan bandar saja bagi mengelakkan disaman oleh polis trafik.

“Itu tafsiran yang tidak bijak. Ini kerana topi keledar itu mustahak dipakai untuk keselamatan diri,” ujarnya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Ishak turut menyatakan kekecewaannya kerana masih ada ibu bapa yang bermotosikal ke pusat bandar tetapi tidak memakaikan topi keledar untuk anak mereka sebagai pembonceng.

Beliau memberitahu, pihaknya mendapati antara kumpulan masyarakat yang paling ramai tidak memakai topi keledar ialah penduduk di kawasan Felda seperti di Felda Chuping, Felda Mata Air dan Felda Rimba Mas di Padang Besar.

“Diharap pengguna mengutamakan topi keledar untuk keselamatan diri. Saya bimbang kerana carta kami sekarang menunjukkan jumlah kemalangan maut melibatkan pengguna motosikal yang tidak memakai topi keledar semakin bertambah.

“Mangsa kemalangan itu maut kerana kecederaan serius di kepala. Mereka yang paling ramai terlibat dalam kes itu pula ialah pelajar sekolah menengah yang bukan saja menunggang tanpa topi keledar, tetapi tidak memiliki lesen memandu,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau meminta ibu bapa tidak membenarkan anak menunggang motosikal tanpa lesen dan tidak memakai topi keledar semasa bermotosikal.

Beliau juga turut memberi contoh pada 7 September lalu, dua sahabat karib yang bermotosikal tanpa topi keledar dari Felda Rimba Mas ke Bazar Ramadan di Felda Mata Air maut selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya.

Katanya, kedua-dua pelajar tingkatan dua itu, Nurul Fitrah Bidin dan Nor Adila Ahmad masing-masing berusia 14 tahun, mati apabila kenderaan yang dinaiki terbabas kira-kira 15 meter sebelum merempuh sebatang pokok jati di tepi jalan.

Berikutan itu, Nurul Fitrah maut di tempat kejadian manakala Nor Adila meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini.

Ishak memberitahu, laporan perubatan HTF pula menyatakan, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan teruk di kepala kerana tidak memakai topi keledar.

 

Sumber: Utusan Malaysia, 10 Oktober 2009.

Tinggalkan jawapan