JERANTUT 5 Okt. – Setahun lalu, seorang penduduk Orang Asli yang buta huruf dari Kampung Sungai Retang, dekat sini dikompaun Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebanyak RM150 kerana menunggang motosikal tanpa lesen dan cukai jalan.
Sejak itu, Mustapa a/l Jali, 37, serik untuk menunggang lalu bertekad mendapatkan lesen memandu walaupun tidak mampu membaca dan menulis.
Bagaimanapun setelah menghadiri program Satu Komuniti Satu Jabatan Pengangkutan Jalan (SKSJPJ) di Felda Sungai Retang di sini selama tiga hari, impiannya mendapatkan lesen yang sah tercapai.
Mustapa antara 157 Orang Asli di daerah ini yang melepasi ujian memandu dan memperoleh Lesen P hari ini.
Turut lulus ujian ialah 258 warga emas dan belia dari Kampung Baru Jerangsong, Felda Kota Gelanggi, Padang Piol, Mela, Hulu Tembeling dan Perkampungan Orang Asli Kuala Tahan dekat sini.
Penyampaian Lesen P kepada seramai 415 penduduk yang menamatkan ujian lisan dilakukan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, Datuk Wan Amizan Wan Abdul Razak.
Penutupan program SKSJPJ itu dilakukan oleh Pengarah Korporat dan Penyelidikan JPJ, Zairi Mat Ali yang mewakili Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan.
Hadir sama, Pengarah JPJ negeri, Datuk Zakaria Man.
Mustapa ketika ditemui mengucapkan terima kasih kepada JPJ kerana menganjurkan program itu yang memberi peluang kepada penduduk Orang Asli yang buta huruf di pedalaman daerah ini memperoleh lesen memandu.
‘‘Program ini memudahkan kami di pedalaman memperoleh lesen kerana jarak perhubungan dengan Pejabat JPJ di Temerloh dan Bandar Tun Razak Jengka terlalu jauh dan terpaksa berbelanja lebih untuk menjalani ujian dan mendapatkan lesen,” katanya.
Sementara itu, seorang warga emas dari Felda Kota Gelanggi Dua, Abu @ Saad Ahmad, 73, berkata, dia lega setelah memperoleh Lesen P selepas mengikuti program tersebut.
Pada awalnya, dia mengakui mustahil untuk lulus kerana buta huruf dan buta komputer.
‘‘Jadi apabila JPJ melaksanakan ujian lisan berkelompok Lesen P, ia lebih menyenangkan warga emas yang kebanyakannya buta huruf dan berpeluang meneruskan ujian amali tanpa kesukaran kerana kami sudah biasa menunggang motosikal,” katanya.
Seorang lagi warga emas Jerangsong, Chan Kin, 69, berkata, program itu merupakan keprihatinan JPJ kepada warga emas dan perlu diteruskan bagi memudahkan penduduk yang buta huruf memperoleh lesen.
‘‘Bayaran yang dikenakan sebanyak RM212 amat berpatutan di samping cara melaksanakan ujian oleh pegawai JPJ cukup berhemah dan memberi keselesaan kami mendapatkan Lesen P,” katanya.
Seorang penduduk Pasir Durian, Abdul Aziz Awang Chik, 70, berkata, dia menunggang motosikal tanpa lesen sejak memiliki kenderaan itu 10 tahun lalu untuk berulang alik ke kebun buah-buahan sejauh lapan kilometer.
‘‘Setelah mengikuti program ini selama tiga hari barulah saya tahu ada ujian khas untuk warga emas. Kini saya rasa lebih yakin dan selamat apabila berada di atas jalan raya,” katanya.
Rakannya dari Bukit Mat Daling, Hulu Tembeling, Wan Zawawi Wan Soh, 63, berkata, kejayaan memperoleh Lesen P merupakan lembaran baru hidupnya setelah berlatih bersungguh-sungguh dan mengikuti ujian dengan sabar.
‘‘Saya tidak berkesempatan memperoleh lesen pada usia muda kerana tinggal jauh di pedalaman dan terpaksa menggunakan bot penambang melalui Sungai Tembeling untuk ke bandar berdekatan menjalani latihan dan ujian memandu,” katanya.
Sumber: Utusan Malaysia, 6 Oktober 2009.
Difailkan dalam: Berita | Tagged: akhbar, B2, harga, JPJ, Kursus, Lesen, Lesen L, Lesen memandu, Lesen P, motorsikal, Test JPJ, Ujian, ujian teori, Ujian undang2, undang-undang







