Sukarnya mendidik pengguna jalan raya

Proses belajar memandu di Malaysia perlu diperkemas

SEBANYAK 16 lagi kematian dicatatkan pada hari ke-14 Ops Sikap XX kelmarin, menjadikan jumlah korban nahas jalan raya musim perayaan kali ini meningkat kepada 238 orang. Jumlah korban kali ini adalah antara tertinggi sejak Ops Sikap diperkenalkan bagi mengurangkan kadar kematian ketika musim perayaan, lapan tahun lalu. Jumlah kematian tertinggi pernah dicatatkan dalam operasi itu ialah ketika Ops Sikap III. Pada fasa pertama Ops Sikap III bermula 29 November 2002, 280 kematian dicatatkan, manakala pada fasa kedua bermula 20 Disember tahun sama, 238 pengguna jalan raya maut.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, melahirkan rasa sedih dan kesal kerana selepas begitu banyak operasi termasuk Ops Sikap setiap tahun, ia belum dapat mengurangkan jumlah kemalangan maut di jalan raya negara ini. Beliau menyalahkan sikap pengguna jalan raya yang tidak menghormati undang-undang lalu lintas sebagai punca utama masalah itu seperti dibuktikan oleh perangkaan Ops Sikap kali ini.

Katanya, semua usaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya, khususnya pada sepanjang musim perayaan di negara ini tidak akan mendatangkan faedah jika masyarakat, termasuk pemimpin politik tidak berubah sikap dan komited dalam menjayakan matlamat itu.

Kita turut berkongsi pandangan dengan kekesalan yang diluahkan oleh Ketua Polis Negara itu. Undang-undang sudah ada dan pelbagai kempen keselamatan jalan raya dilancarkan, tetapi pemandu tetap ingkar dan lalai. Walaupun angka kematian sering kali dikaitkan dengan kadar pertambahan kenderaan di jalan raya, ia bukanlah alasan untuk kita berasa lega. Dengan ribuan nyawa terkorban kerana kemalangan setiap tahun, jalan raya di negara ini sudah bertukar sebagai perangkap maut.

Bagaimanapun jalan raya tidak bersalah, malah taraf dan mutu keselamatannya sentiasa dipertingkatkan. Lebuh raya di negara ini adalah antara yang terbaik di dunia, manakala teknologi kenderaan sentiasa memberi penekanan kepada ciri-ciri keselamatan. Begitu juga dengan pelbagai undang-undang dan penguatkuasaan peraturan lalu lintas.

Jadi yang bersalah bukan jalan, kenderaan atau peraturan tetapi pengguna jalan raya terutama pemandu kenderaan. Langkah kerajaan untuk memasang Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di 831 lokasi seluruh negara bagi mengesan kelajuan secara automatik, tanpa perlu meletakkan anggota polis trafik seperti diumumkan oleh Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan, Datuk Solah Mat Hassan kelmarin, belum menjamin dapat mendisiplinkan pemandu di negara ini jika pengalaman sebelum ini dijadikan ukuran. Daripada meletak patung polis trafik, memasang papan tanda statistik kemalangan sehinggalah kepada pemasangan kamera, ia ternyata belum cukup untuk mendidik pemandu di negara ini mematuhi peraturan lalu lintas. Malah, saman dan denda yang lebih berat pun tidak dihiraukan oleh kebanyakan pemandu.

Barangkali satu cara yang mungkin berkesan tetapi mengambil masa yang lama ialah melalui pendidikan supaya menggunakan jalan raya secara berhemah sejak di bangku sekolah rendah lagi. `Melentur buluh biarlah dari rebung`. Hanya dengan pendidikan, budaya menghargai nyawa dan menghormati undang-undang ketika menggunakan jalan raya, dapat dibentuk pada masa depan.

Sehingga budaya itu wujud, pihak berkuasa boleh menimbangkan cadangan dan maklum balas pelbagai pihak bagaimana untuk menangani masalah ini. Antaranya ialah lesen pemandu tegar yang sering melanggar peraturan jalan raya khususnya menyebabkan kematian dibatalkan serta-merta terutama membabitkan pemandu pengangkutan awam seperti lori dan bas ekspres.

Selain itu, tidak kurang juga menganggap proses belajar memandu dan mendapatkan lesen di negara ini, yang dianggap longgar, perlu diperkemaskan. Perbandingan boleh dibuat antara kaedah pembelajaran memandu di Malaysia dengan negara maju yang berjaya mengurangkan kadar kemalangan seperti Jepun dan United Kingdom. Seorang pembaca, Mohammad Yusmin Mat Jusoh, yang pernah tinggal lama di United Kingdom, dalam e-mel kepada penulis bersetuju kurikulum belajar memandu di negara ini tidak mencukupi dalam melahirkan pemandu berhemah.

“Saya memiliki lesen memandu UK dan Malaysia. Saya dapati dari segi latihan memandu untuk ujiannya, lesen UK lebih berkualiti. Di UK, saya belajar cara untuk mengelak atau mengesan kemalangan ketika memandu tetapi tidak di Malaysia. Cara untuk mengambil posisi di bulatan juga tidak dititikberatkan. Secara jujur saya terkejut bila adik saya boleh lulus ujian memandu (di Malaysia), sedangkan dia selepas itu masih tidak cekap memandu,” katanya.

Apa pun, paling penting, keprihatinan pelbagai pihak mengenai kadar kematian dicatatkan pada Ops Sikap kali ini tidak sekadar berakhir dengan tamatnya operasi itu semalam dan hanya muncul semula pada Ops Sikap musim akan datang. Hakikatnya, kadar kematian harian nasional sebanyak 18 orang dan kadar kematian harian musim perayaan 23 orang sebelum Ops Sikap dimulakan, masih tinggi berbanding jumlah kematian harian dicatatkan sepanjang dua minggu lalu. Justeru, janganlah kita hanya bersuara dan melahirkan kebimbangan sekadar menyemarakkan publisiti ketika Ops Sikap tetapi diam tanpa berbuat sesuatu untuk memperbaiki keadaan. Jika pelbagai pihak benar-benar mengambil pengajaran daripada beberapa siri awal Ops Sikap dulu, tentunya operasi itu tidak perlukan sehingga 20 siri semalam dan entah berapa lagi nanti.

 

Sumber: Berita Harian, 2 Oktober 2009.

About these ads

Satu Respons

  1. Sebenarnya terdapat 4E iaitu ( Education, Engineering, Environment & Enforcement ) yang perlu di selaraskan dalam menangani isu kemalangan jalanraya. Kalau salah satu pincang & lemah maka tidak mustahil Ops Sikap yg telah dan bakal muncul pada tahun-tahun mendatang tiada kesan positif terhadap cara pemanduan rakyat Malaysia di atas Jalanraya.

    Kemungkinan dari segi pendidikan pemanduan di Malaysia perlu di kaji semula amat di sokong utk melahirkan pemandu yg cekap & profesional di jalanraya. Sebagai contoh sistem yang di laksanakan sekarang latihan praktikal lapan jam di tambah 2 jam untuk pra ujian masih tidak mencukupi untuk melahirkan pemandu berhemat & cekap. Pihak berkuasa perlu mengkaji semula semua sistem pengujian memandu yang terdapat di seluruh dunia, di samping mengkaji negara mana yang paling sedikit kemalangan jalanraya dan mengambil pendekatan yang sesuai untuk di laksanakan di negara kita berdasarkan model contoh dari negara yang terbaik mengamalkan sistem pemanduan yang terbukti berkesan.

    Proses pembelajaran yang singkat di negara kita cuma boleh melahirkan pemandu yg mampu mengendalikan kenderaan secara asas tetapi dari aspek yang lain seperti kecekapan membaca halangan & bahaya semasa memandu masih kurang berkesan untuk di sematkan dalam minda pelajar semasa proses pembelajaran pemanduan.

    Selain daripada pendidikan, penguatkuasaan (enforcement) perlu di laksanakan lebih ketat seperti pemandu yang memandu dengan bahaya dan menyebabkan kemalangan serta kematian di penjarakan seperti hukuman penjenayah membunuh dan lesen di batalkan serta tidak boleh memandu seumur hidup.

    Apa yang penting sikap pemandu kita perlu di ubah dan di didik pada sepanjang masa di samping penguatkuasaan peraturan dan undang-undang jalanraya yang ketat agar dapat melahirkan pemandu yang berdisipiln dan berhemat di jalanraya.

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 77 other followers

%d bloggers like this: