SEREMBAN: Kerajaan dan institut memandu akan menanggung bersama kadar bayaran latihan menunggang motosikal kelas B2, iaitu 250cc ke bawah yang dikurangkan kepada RM211 mulai 1 September ini.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat, berkata kementeriannya sudah berbincang dan mencapai kata sepakat dengan semua institut memandu mengenai langkah pengurangan kadar bayaran latihan itu.
“Dalam perbincangan bersama, mereka berjanji mematuhinya tanpa mengenakan sebarang caj tambahan,” katanya di sini, hari ini.
Beliau yang juga Presiden MCA berkata demikian selepas merasmikan perhimpunan agung MCA Negeri Sembilan 2009.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan tentang kadar bayaran latihan menunggang motosikal bawah 250cc termasuk mendapatkan lesen dikurangkan kepada RM211 berbanding RM500 hingga RM700 sebelum ini.
Pengumuman itu adalah antara 11 hadiah mesra rakyat yang diumumkan Najib sempena sambutan 100 hari pentadbiran beliau sebagai Perdana Menteri.
Langkah itu bertujuan membantu terutamanya golongan belia yang mempunyai sumber kewangan terhad untuk mendapat lesen memandu.
Ong berkata, sebelum ini kadar bayaran latihan menunggang motosikal ditetapkan sendiri oleh institut memandu, tetapi berdasarkan semakan semula dan selepas mendengar rungutan orang ramai, ia didapati membebankan.
“Kita berharap pengurangan kadar bayaran latihan ini iaitu lebih 50 peratus akan membantu orang ramai mendapatkan lesen memandu, terutama bagi golongan belia yang menunggang tanpa lesen,” katanya.
Sumber: Berita Harian, 12 Julai 2009.
Difailkan dalam: Berita | Tagged: akhbar, B2, JPJ, Lesen, Lesen L, Lesen memandu, Lesen P, motorsikal, Ujian undang2







