Tak faham prosedur punca terpedaya sindiket jual lesen
BALING: Seorang pelajar Kolej Universiti Insaniah (Insaniah) terkejut apabila mendapati lesen memandu yang dimilikinya sejak setahun lalu adalah lesen palsu selepas diperiksa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam satu sekatan jalan raya di sini, kelmarin.
Mohd Azraie Muhammad Yunus, 19, berkata dia membuat lesen memandu itu tahun lalu selepas ditawarkan oleh seorang lelaki berusia lingkungan 30-an ketika belajar di sebuah sekolah pondok di Parit Panjang, dekat sini.
Katanya, lelaki itu yang juga pelajar di sekolah pondok berkenaan mendakwa berasal dari Perak menawarkan diri untuk membantu menguruskan permohonan mendapatkan lesen `D’ dan `B2′ dengan bayaran RM550.
“Dia mengatakan boleh menguruskan permohonan lesen memandu tanpa menghadiri kursus ditetapkan oleh JPJ kononnya ingin membantu pelajar sekolah pondok menyebabkan saya dan beberapa pelajar lain turut mendaftar dan menyerahkan wang.
“Lelaki itu juga menawarkan permohonan lesen secara mudah tanpa perlu menghadiri kursus ditetapkan JPJ bagi memudahkan pelajar sekolah agama.
“Saya tidak mengesyaki apa-apa kerana lesen itu diperoleh dalam tempoh beberapa hari seperti dijanjikan dan ia kelihatan sama seperti lesen memandu orang lain,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Mohd Azraie berkata, dia terkejut apabila diberitahu JPJ bahawa lesennya adalah palsu ketika ditahan dalam satu sekatan jalan raya melalui Ops Bersepadu JPJ dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) di Kilometer 52 Jalan Baling-Sungai Petani, kelmarin.
Katanya, dia terpengaruh dengan tawaran itu kerana tidak mengetahui prosedur permohonan lesen yang memerlukan seseorang mengikuti kelas pendidikan pemandu, menduduki ujian berkomputer, belajar memandu kereta sekurang-kurangnya lapan jam sebelum diuji JPJ.
Mohd Azraie yang juga pelajar jurusan Syariah di Insaniah Alor Setar berkata, dia bernasib baik kerana tidak disaman JPJ, tetapi bimbang bagaimana mahu membaharui lesen itu apabila tempoh sahnya tamat nanti.
Beliau mengesyaki lelaki terbabit menjadi ejen sindiket pengeluaran lesen memandu palsu dan ramai rakannya turut tertipu.
Sehubungan itu, katanya, beliau akan membuat laporan polis berhubung penipuan itu bagi membolehkan siasatan dijalankan.
Sumber: Berita Harian, 5 Julai 2009.
Difailkan dalam: Berita | Tagged: akhbar, B, B2, Belajar memandu, harga, JPJ, kejara, Lesen, Lesen L, Lesen memandu, Lesen P, motorsikal, saman, Test JPJ, Ujian, ujian teori, Ujian undang2, undang-undang







