Dari Akhbar: 11 sekolah dididik elak lumba haram

Operasi pastikan motosikal diguna pelajar miliki cukai jalan, insurans dan lesen memandu

KLUANG: Sebelas sekolah menengah adalah antara 45 lokasi yang dikenal pasti polis daerah, bagi melakukan operasi mendidik pemilik motosikal mematuhi peraturan lalu lintas dan membanteras kegiatan lumba haram di kalangan pelajar di sekitar daerah ini.

Dalam operasi yang bermula awal Mei lalu dan berakhir 22 Jun lalu, sebanyak 2,330 motosikal diperiksa dan 909 saman dikeluarkan pihak berkuasa.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Radin Samsudin Radnan, berkata tindakan mengadakan operasi berkenaan bertujuan mendidik pelajar supaya mematuhi peraturan ditetapkan.

“Tujuan utama kita mengadakan operasi ini adalah untuk memastikan motosikal digunakan pelajar mempunyai cukai jalan serta dilindungi insurans, selain penunggangnya mempunyai lesen memandu sah.

“Malah, pendidikan serta pendedahan diberi kepada pelajar itu, juga bertujuan untuk memastikan mereka sebagai generasi bebas jenayah, yang tidak terbabit dalam kegiatan menyalahi undang-undang seperti lumba haram,” katanya.

Radin Samsudin berkata, lebih 10 motosikal disita dan beberapa saman dikeluarkan berikutan penunggang tidak mempunyai lesen memandu dan kenderaan digunakan pula tidak mempunyai cukai jalan serta insurans.

Selain menyita, beliau berkata, polis turut memanggil pemilik motosikal berkenaan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, untuk membayar saman dan diberi nasihat supaya mematuhi undang-undang.

Beliau berkata, antara kesalahan yang sering dilakukan pemilik motosikal ialah membenarkan anak menunggang kenderaan berkenaan, walaupun tahu mereka tidak memiliki lesen memandu.

Katanya, tidak memiliki lesen memandu adalah kesalahan paling banyak dilakukan dengan 445 kes, manakala, selebihnya pelbagai kesalahan lain seperti tiada cukai jalan dan perlindungan insurans.

“Pemeriksaan susulan di semua 11 buah sekolah berkenaan mendapati keadaan bertambah baik dan percaya usaha mendidik pelajar serta pemilik motosikal yang dilaksanakan polis itu, membuahkan hasil,” katanya.

Sumber: Berita Harian, 28 Jun 2009.

Tinggalkan jawapan