Alasan pengguna-pengguna jalanraya yang degil

KUALA LUMPUR: “Setiap kali operasi, masih banyak lagi kesalahan seperti tidak ada lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh dilakukan. Mereka seolah-olah tidak tahu undang-undang jalan raya di negara ini,” kata Penolong Pengarah Penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan, Shamsudin Sulaiman.

Menurutnya, sikap degil pengguna jalan raya ini hanya akan menyusahkan mereka sendiri jika berlaku kejadian yang tidak diingini.

“Setiap kali ditanya, pengguna jalan raya akan memberi pelbagai alasan bagi mengelakkan diri daripada disaman antaranya tiada masa mengambil lesen pemandu atau tidak sempat memperbaharui cukai jalan tamat tempoh.

“Jangan beri alasan lagi kerana mereka berkemungkinan ‘mati katak’ jika terbabit dengan kemalangan. Ketika itu sudah terlambat untuk menyesal,” katanya ketika dihubungi.

Shamsudin berkata, dalam ‘Ops Pengarah’ yang dilakukan di Bukit Jalil, Rabu lalu sebanyak 80 saman dikeluarkan dengan majoritinya membabitkan dua kesalahan itu.

“Selain itu, kita turut menyita 23 motosikal kerana didapati melakukan kesalahan itu selain mengubahsuai kenderaan mereka.

“Kita bertegas bukan untuk menyusahkan pengguna jalan raya tetapi membantu menyelamatkan nyawa mereka.

“Operasi seperti ini akan terus dijalankan dari semasa ke semasa bagi memastikan hanya yang benar-benar layak dan selamat ada di atas jalan raya,” katanya.

Sumber: Harian Metro, 28 Jun 2009.

Tinggalkan jawapan