BUTTERWORTH 28 Mac – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang berjaya mengesan satu sindiket pemalsuan lesen memandu yang dipercayai beroperasi di Parit Buntar, Perak sebelum dijual secara meluas di pasaran gelap sekitar Semenanjung.
Kegiatan sindiket berkenaan terbongkar berikutan penahanan 150 pemilik kenderaan yang didapati memiliki lesen memandu palsu dalam beberapa sekatan jalan raya sekitar Pulau Pinang sepanjang bulan lalu.
Sindiket yang dipercayai mengaut keuntungan jutaan ringgit setiap tahun menjual dokumen palsu itu dengan harga antara RM800 hingga RM1,200.
Pengarah JPJ negeri, Datuk Hassan Yaccob berkata, pihaknya sudah mendapatkan keterangan daripada pemilik kenderaan terbabit dan kes berkenaan sudah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Katanya, pihaknya percaya sindiket tersebut mempunyai kaitan dengan sindiket yang pernah ditumpaskan di Pulau Tikus, dekat sini, Tikam Batu di Kedah serta di Lumut, Perak sebelum ini.
”Rata-rata daripada 150 pemilik kenderaan terbabit yang ditahan kerana memiliki lesen memandu palsu mengakui membeli lesen itu dari sindiket yang beroperasi di Parit Buntar, Perak.
”Kita sudah serahkan kes ini kepada pihak polis dan saya percaya siasatan mengenainya sedang giat dijalankan,” katanya kepada pemberita selepas mengetuai Ops Pengarah V bagi tahun 2009 di Plaza Tol Sungai Dua, di sini awal pagi ini.
Hassan memberitahu, pihaknya percaya kegiatan pemalsuan lesen memandu masih lagi berleluasa ekoran terdapat banyak kes yang dicatatkan setiap kali sekatan jalan raya diadakan.
Perkembangan yang membimbangkan itu, katanya, berpunca daripada permintaan tinggi daripada pemilik kenderaan untuk mendapatkan dokumen itu selain pengetahuan orang ramai mengenainya yang masih rendah.
”Ada yang menyangka lesen memandu asli dengan yang palsu hampir sama dan tidak mungkin ia dapat dikesan.
”Persepsi ini silap kerana JPJ mempunyai pangkalan data lengkap mengenai semua pemilik lesen memandu yang sah,” tegasnya.
Sementara itu, dalam operasi yang bermula pukul 11 malam hingga 4 pagi ini, lebih 2,000 kenderaan diperiksa dan JPJ mengeluarkan lebih 120 saman atas pelbagai kesalahan termasuk tidak memiliki lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh.
Sumber: Harian Metro, 29 Mac 2009.
Difailkan dalam: Berita | Tagged: akhbar, Berita, JPJ, kompaun, Lesen, Lesen L, Lesen memandu, Lesen P, PDRM, pemandu, saman








assalamualaikum macam mana nak tahu beza lesen terbang dengan betul.?