Meninggal dunia ketika jalani ujian menunggang motorsikal

Di JOHOR BAHRU seorang warga emas meninggal dunia ketika menjalani ujian menunggang motosikal di sebuah pusat latihan memandu, petang semalam.

Husin Ayan, 77, dari Felda Ulu Tebrau di sini, terjatuh dari motosikal ketika menjalani ujian brek kecemasan bagi mendapatkan lesen motosikal menerusi program Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bersama warga emas di pusat latihan itu.

Dalam kejadian jam 2.30 petang itu, Allahyarham bersama tiga rakan warga emas dari Felda sama menjalani ujian praktikal bagi mendapatkan lesen motosikal selepas dua kali menjalani latihan di pusat latihan berkenaan.

Isteri Allahyarham berkata dia terkilan apabila Allahyarham tidak sempat bersarapan pagi kerana perlu keluar awal untuk ke pusat latihan berkenaan.

“Allahyarham keluar rumah jam 7 pagi dan ketika itu, saya belum sempat menyediakan sarapannya, Bagaimanapun, kami sempat berbual sebentar.

Rakan Allahyarham yang turut mengambil lesen menunggang motosikal, Mahat Siman, 72, berkata mereka bertolak dari Felda berkenaan ke pusat latihan itu kira-kira jam 7 pagi.

Ketika kejadian jam 2.30 petang, katanya, mereka menunggu Allahyarham menjalani ujian brek kecemasan selepas dia bersama dua lagi rakan selesai.

Dia berkata, Allahyarham terjatuh ketika membrek kecemasan.

“Kami bersama tenaga pengajar dan orang ramai mengangkat Allahyarham dan ketika itu, kami dapati dia sudah meninggal dunia. Ambulans dari Hospital Sultanah Aminah (HSA) datang bagi memeriksa Allahyarham dan doktor mengesahkan dia sudah meninggal dunia.

“Hari ini kali ketiga kami datang ke sini selepas dua kali menjalani latihan menunggang motosikal. Kami ingatkan akan pulang bersama lesen memandu masing-masing, namun tidak menyangka kejadian itu,” katanya.

Sumber: Harian Metro, 27 Ogos 2008.

Tinggalkan jawapan