Program JPJ bersama Rakyat – 200 penduduk pedalaman dapat lesen memandu

TANAH MERAH 14 Julai – Setahun lalu, Binyamin Sulaiman, 59, seorang penoreh getah telah dikompaun RM500 kerana tidak mempunyai lesen memandu kereta apabila terlibat dalam satu kemalangan jalan raya berhampiran kampungnya di Kusial Baru.

Ekoran itu, dia serik dan bimbang akan mengalami masalah berterusan, lalu bertekad untuk mendapatkan lesen memandu tetapi kerana buta huruf, hasratnya hanya dipendamkan.

Bagaimanapun, program Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Bersama Rakyat di Sekolah Kebangsaan Gual Jedok di sini selama dua hari baru-baru ini berhasil memenuhi impiannya.

Binyamin mengucapkan ribuan terima kasih kepada JPJ kerana menganjurkan program itu yang bertujuan memastikan penduduk terutamanya warga emas di kawasan luar bandar mendapat lesen memandu yang sah dengan sedikit kelonggaran.

“Saya akui untuk lulus bahagian satu iaitu ujian berkomputer lesen memandu adalah mustahil kerana saya buta huruf dan juga tidak tahu langsung tentang komputer.

“Jadi apabila JPJ melaksanakan ujian bahagian satu ini secara lisan dan berkelompok ia telah menyenangkan kami semua kerana Bahagian Dua iaitu ujian memandu tidak mempunyai masalah kerana kebanyakannya telah memandu berpuluh-puluh tahun, cuma tiada lesen,” katanya ketika ditemui.

Majlis penutup Program JPJ Bersama Rakyat itu disempurnakan oleh Pengarah Korporat dan Penyelidikan JPJ, Zairi Mat Ali.

Hadir sama Pengarah JPJ negeri, Abd. Ghani Che Kasim.

Pada majlis itu, Binyamin adalah antara 200 penduduk kampung yang menyertai program berkenaan telah mendapat lesen memandu B2 masing-masing.

Sementara itu, seorang penduduk Kampung Tuala Tiga, Wan Hasnah Wan Mat, 56, bersama suaminya, Nik Leh Nik Soh, 60, yang menyertai program itu memuji keprihatinan JPJ dalam mengatasi masalah penduduk di pedalaman.

“Bayaran yang dikenakan sebanyak RM350 juga amat berpatutan berbanding dengan kadar di sekolah memandu yang biasanya melebihi RM500.

“Saya dah menunggang motosikal tanpa lesen sejak lima tahun lalu dan apabila mendapat lesen hari ini, saya rasa lebih yakin dan selamat apabila berada di atas jalan raya,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia, 15 Julai 2008.

Tinggalkan jawapan