PUTRAJAYA: Penumpang di tempat duduk belakang kenderaan yang tidak memakai tali pinggang keledar akan disaman mulai September ini, tiga bulan selepas tempoh pengenalan penguatkuasaan undang-undang baru itu mulai Jun ini tamat.
Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Datuk Suret Singh, berkata polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bertanggungjawab mengeluarkan saman terhadap mereka yang didapati melanggar peraturan berkenaan.
Beliau berkata, dalam tempoh tiga bulan pertama undang-undang itu dikuatkuasakan, penumpang di tempat duduk belakang kenderaan yang tidak memakai tali pinggang keledar akan hanya diberi nasihat dan amaran.
“Selepas tempoh pengenalan itu berakhir, kita akan mengenakan saman kepada mereka yang tidak mematuhi peraturan berkenaan, tetapi kadarnya belum ditetapkan kerana masih pada peringkat rundingan,” katanya pada sidang media, di sini semalam.
Suret berkata, penguatkuasaan peraturan pemakaian tali pinggang keledar itu membabitkan kenderaan yang dikeluarkan selepas 1 Januari 1995 dan bagi kenderaan yang tidak mempunyai alat itu, pemiliknya diberi tempoh tiga tahun untuk berbuat demikian.
Bagaimanapun, katanya, peraturan baru itu tidak tertakluk kepada kenderaan yang dikeluarkan sebelum 1 Januari 1995 dan kereta Perodua Kancil serta Kenari yang dikeluarkan pada pertengahan 1998 hingga 2004.
Beliau berkata, walaupun kenderaan berkenaan dikecualikan daripada penguatkuasaan undang-undang, pemiliknya tetap digalakkan memasang tali pinggang keledar atas sebab keselamatan.
Mengenai penumpang keempat dalam sesebuah kenderaan, Suret berkata tindakan saman tidak boleh dikenakan kerana hanya ada dua set tali pinggang keledar disediakan di bahagian tempat duduk belakang.
Difailkan dalam: Berita | Tagged: JPJ, saman, talipinggang, undang-undang







