Dari Akhbar: Syor pakai tali pinggang keledar tetap dilaksana

KUALA LUMPUR: Cadangan mewajibkan pemakaian tali pinggang keledar kepada penumpang bahagian belakang akan diteruskan dan dilaksana dalam masa terdekat.

Menteri Pengangkutan Datuk Ong Tee Keat, berkata kerajaan akan tetap melaksanakan pemakaian tali pinggang keledar kepada penumpang bahagian belakang bagi membantu mengurangkan risiko kecederaan akibat kemalangan.

Beliau berkata, cadangan pelaksanaannya perlu diteruskan kerana sudah dipersetujui di semua peringkat dan kini sudah memasuki fasa terakhir untuk membolehkan ia dilakukan.

“Saya masih baru di kementerian ini dan perlu sedikit masa untuk membuat penilaian sendiri. Bagaimanapun ia tetap akan di laksanakan dan saya akan umumkan perkara itu dalam masa terdekat nanti,” katanya ketika dihubungi di sini semalam. Februari lalu kerajaan memutuskan untuk mewajibkan pemakaian tali pinggang keledar kepada penumpang bahagian belakang bagi mengurangkan risiko kecederaan akibat kemalangan dalam masa terdekat.

Menteri Pengangkutan ketika itu, Datuk Seri Chan Kong Choy, berkata berikutan keputusan mesyuarat Kabinet pelaksanaan pemakaian tali pinggang keledar itu akan diadakan tidak lama lagi selepas meneliti kertas cadangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dan polis.

Tinggalkan jawapan