KUALA LUMPUR 29 Mac – Kementerian Pengangkutan akan mengkaji semula pelaksanaan sistem e-Kesihatan bagi pemandu kenderaan komersial yang ditangguhkan sejak Oktober lalu.Menterinya, Datuk Ong Tee Keat berkata, sebelum sistem itu dilaksanakan, pihak kementerian perlu melakukan pelbagai kajian secara terperinci berhubung perkara tersebut.
Tambah beliau, kementerian peka terhadap aduan dan maklum balas orang ramai terhadap sistem e-Kesihatan sebelum ini.
“Pelbagai perkara perlu dihalusi sebelum sesuatu sistem itu dilaksanakan kerana ia membabitkan pelbagai pihak,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan terkini sistem e-Kesihatan yang ditangguhkan kerajaan pada Oktober tahun lalu.
e-Kesihatan adalah pemeriksaan menyeluruh merangkumi ujian darah dan air kencing di 611 klinik panel yang ditetapkan sebelum keputusannya dihantar ke JPJ secara elektronik bagi mengelak pemalsuan.
Pemeriksaan itu wajib dilakukan semua pemandu yang ingin memperbaharui atau memohon lesen memandu kenderaan awam (PSV) serta lesen memandu barangan (GDL).
Bagaimanapun, pelaksanaan sistem itu menimbulkan kontroversi bahawa syarikat yang menerima kontrak bagi mengendalikan sistem itu, akan meraih keuntungan `atas angin’ hampir RM400 juta dalam tempoh 15 tahun.
Difailkan dalam: Berita | Tagged: e-Kesihatan, GDL, JPJ, Lesen, PSV, Vokasional







