Sumber: Berita Harian, 23 Feb. 2008, Oleh Mohamed Farid Noh.
KUALA LUMPUR: Kerajaan melantik tenaga pengajar profesional dari Australia untuk melatih 700,000 pemandu komersial seluruh negara, terutama kenderaan berat dalam usaha mengurangkan risiko dan menangani kemalangan maut. Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Fong Chan Onn, berkata tahun lalu Kabinet meluluskan kandungan dan modul pengajaran pemanduan berhemah kepada pemandu komersial serta pengambilan tenaga pengajar berkenaan. “Tenaga pengajar profesional itu akan menumpukan kepada pengajaran secara praktikal kepada pemandu komersial membabitkan pemandu bas, lori dan teksi. “Kerajaan mengambil keputusan melatih kira-kira 70,000 pemandu bas dulu memandangkan sektor itu memerlukan latihan segera bagi menjamin keselamatan penumpang,” katanya selepas merasmikan bangunan baru Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB), di sini, semalam. Hadir sama, Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah PSMB, Datuk Teo Chiang Kok dan Ketua Pegawai Esekutif PSMN, Tiew Hai San. Ogos tahun lalu, kerajaan mengumumkan enam langkah segera untuk dilaksanakan serta-merta bagi menjamin keselamatan pengangkutan awam, terutama bas ekspres, antaranya untuk melaksanakan kursus kecekapan tambahan untuk pemandu kenderaan komersial. Fong berkata, antara unsur terkandung dalam modul pengajaran yang dirangka membabitkan pemanduan berhemah secara praktikal secara simulasi.
“Kini hanya satu pusat latihan di Sepang mengendali kursus kecekapan tambahan untuk pemandu komersial dan saya difahamkan Kementerian Pengangkutan akan membina lebih banyak pusat latihan sama di seluruh negara
Beliau berkata, menerusi program itu, semua pemandu komersial termasuk bas diwajibkan menjalani latihan semula setiap tahun bagi meningkatkan kemahiran pemanduan.
“Memandangkan latihan semula itu diwajibkan bagi semua pemandu kenderaan komersial termasuk syarikat kecil yang tidak mendaftar dengan PSMB, Kabinet memutuskan menggunakan dana amanah pengangkutan untuk menjelaskan bayaran bagi pemandu terbabit,” katanya.
“Kita menggunakan dana berkenaan bagi syarikat kecil, manakala syarikat yang berdaftar, PSMB akan menggunakan levi yang dibayar kepada PSMB untuk membayar kos melatih semula pemandu mereka,” katanya.
Difailkan dalam: Uncategorized | Tagged: akhbar, bas, bayaran, GDL, komersial, Kursus, latihan, lori, PSV, teksi, Ujian







