Berita Harian, 11 Disember 2007
KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menguatkuasakan pindaan Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, untuk membolehkan pesalah trafik yang melakukan kesalahan mengikut 18 kategori dalam sistem Keselamatan Jalan Raya (Kejara) dikenakan mata demerit serta-merta, awal tahun depan.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Ahmad Mustapha Abdul Rashid, berkata pindaan akta yang bertujuan memantapkan penguatkuasaan itu kini pada peringkat akhir semakan oleh pejabat Peguam Negara.
Beliau berkata, keberkesanan sistem Kejara perlu dipertingkatkan untuk memastikan semua pemandu sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas, sekali gus sebagai satu daripada usaha mengurangkan kemalangan maut.
“Kita sedang menunggu keputusan pejabat Peguam Negara yang kini sudah sampai ke peringkat terakhir. Kita harap boleh menguatkuasakan pindaan akta mengenai sistem Kejara berkenaan pada tahun depan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Beliau berkata, pindaan akta berkaitan sistem Kejara dibuat untuk memastikan semua pesalah trafik yang melakukan kesalahan berat dikenakan tindakan tegas, termasuk tidak dibenarkan memperbaharui, digantung atau ditamatkan lesen memandu mereka.
Menerusi pindaan itu, beliau berkata, rekod mata Kejara akan dimasukkan ke dalam pangkalan maklumat JPJ sebaik saja saman dikeluarkan dan mereka akan berdepan masalah memperbaharui lesen jika melepasi had mata demerit yang ditetapkan.
“Kita sudah lama berbincang dengan Peguam Negara untuk meminda akta JPJ bagi memantapkan pelaksanaan sistem Kejara supaya pemandu kenderaan akan mempunyai kesedaran dan berhati-hati.
“Jumlah kenderaan semakin bertambah setiap tahun, tetapi kesedaran pemilik kenderaan terhadap keselamatan jalan raya masih rendah. Apabila denda dan penalti begini dikenakan mungkin tahap kesedaran mereka boleh berubah,” katanya.
Antara kesalahan yang dikenakan mata demerit ialah memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah dikenakan (15 mata), memandu melulu atau membahayakan (15 mata), memandu tidak cermat dan tidak bertimbang rasa (15 mata) serta cuai mengawal kenderaan (lapan mata).
Sebelum ini, pelbagai pihak mempertikaikan keberkesanan sistem Kejara kerana kaedah sedia ada menetapkan mata demerit akan dimasukkan ke dalam pangkalan data JPJ hanya apabila pemandu disabitkan oleh mahkamah atau selepas membayar denda bagi kesalahan yang dilakukannya.
Akhbar ini turut melaporkan pemandu bas ekspres yang maut dalam nahas yang mengorbankan 22 nyawa di Lebuh Raya Utara-Selatan, dekat Bukit Gantang, Taiping, Perak pada 13 Ogos lalu, tidak mempunyai rekod mata demerit, walaupun dia memiliki 15 saman trafik dan dua waran tangkap.
Filed under: Berita Tagged: | demerit, denda, JPJ, kejara, kemalangan, pemandu, penalti, pesalah trafik, saman, suratkhabar



